Sokong Waytha Moorthy, Siti Kasim Bawa Geng Ke PMO

KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis Siti Kasim hari ini memimpin sekumpulan 50 orang untuk menyerahkan suatu memorandum menyokong Menteri Perpaduan P Waythamoorthy di Pejabat Perdana Menteri .

Siti mendakwa sebanyak 211 NGO telah menandatangani memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu bagi menunjukkan dukungan mereka terhadap menteri di JPM itu.

“Walaupun apa yang dikatakan orang bahawa beliau tidak membuat tugasnya sebagai menteri perpaduan, saya ingin orang tahu di belakang tabir beliau telah bekerja keras untuk menyelesaikan masalah Orang Asli.

“Saya ingin orang ramai tahu bahawa (tanggung jawab) beliau bukan hanya untuk orang Hindu atau India seperti yang dikatakan orang tetapi beliau bekerja untuk kesatuan semua orang,” katanya.

Siti Kasim membela Waytha yang padanya tidak mengenepikan mana-mana kaum.

“Saya tidak merasakan beliau telah mengetepikan mana-mana kaum atau sesiapa pun dengan berbagai kepercayaan,” katanya kepada media dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada setiausaha politik Mahathir Abu Bakar Yahya.

Memorandum sokongan itu menyatakan Waytha telah dijadikan ‘kambing hitam’ dalam kejadian rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

Acara penyerahan memorandum itu turut disertai Pengarah Eksekutif Sisters In Islam Rozana Isa, aktivis Azrul Mohd Khalib dan para penyokong OKU berkerusi roda dari Independent Living and Training Centre Malaysia.

Aktivitis itu sejak semalam berbalas-balas kenyataan di Twitter dengan Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dianggap menyokong desakan Waytha dipecat daripada jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.