Pendidikan 6 Tahun Di Sekolah Pupuk Perpaduan Kaum – Dr. Maza

PETALING JAYA: Dengan berkata kurangnya “pengalaman bersama” dalam kalangan anggota komuniti yang berbeza, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewajibkan rakyat Malaysia mengikuti pendidikan 6 tahun pertama di sekolah kebangsaan.

“Ketiadaan persamaan dari sudut latar pendidikan dan pengalaman bersama semasa awal, menjadikan emosi permusuhan lebih cepat berkembang dibandingkan emosi persahabatan,” tulis Asri dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ramai kanak-kanak Malaysia melalui sistem persekolahan yang tidak membolehkan mereka bergaul dengan orang daripada komuniti berlainan.

“Ini terutamanya apabila sejak tahun pertama di bangku sekolah mereka menerima pendidikan yang secara tabiatnya bersifat eksklusif untuk sesuatu bangsa atau agama,” katanya dengan menambah bahawa kekurangan pengalaman silang-budaya akan tergambar dalam kehidupan dewasa seseorang.

“Apabila mereka menjadi pemimpin atau rakyat pada masa hadapan, kotak pemikiran mereka sangat terbatas kepada kelompok tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan bersama semasa 6 tahun pertama persekolahan boleh memupuk interaksi lebih baik antara kaum.

“Anak-anak bagaikan kain putih, di peringkat itu, tiada perkauman antara mereka. Ketika umur itu yang ada hanyalah kemanusiaan yang lahir daripada fitrah keinsanan” tulis beliau.

Surat Asri muncul selepas Dr Mahathir baru-baru ini menyuarakan kebimbangan bahawa sekolah kebangsaan semakin menyerupai sekolah agama.

”Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam, dan tidak mempelajari yang lain. Akibatnya lepasan sekolah kurang mengetahui mata pelajaran yang berguna untuk pekerjaan, tetapi boleh jadi ulama,” kata perdana menteri Jumaat lepas.

“Terlalu ramai ulama hinggakan mereka berkelahi sesama sendiri. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang dan sebab itu kita akan ubah kurikulum sekolah.”

Beliau berkata, kerajaan akan menyemak semula kurikulum supaya pelajar berjaya dalam subjek lain yang berguna untuk mereka mencari pekerjaan kelak.

Asri mencadangkan subjek agama diajar selepas tamat masa persekolahan, dengan menambah, pembiayaan kelas tersebut boleh diambil daripada wang zakat.

“Dengan (cara) ini, pendidikan Islam akan menjadi lebih baik dan berkesan tanpa mengganggu sifat sekolah kebangsaan yang merupakan domain untuk semua bangsa dan agama,” katanya.

Asri berkata, orang bukan-Islam juga harus dibenarkan untuk mengadakan kelas agama mereka pada masa itu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.