Sekali Lagi, Keluarga Islam Dihalang Ke AS

Sebuah keluarga Islam British seramai 11 orang, dua dewasa dan sembilan kanak-kanak dihalang pegawai keselamatan Amerika Syarikat untuk menaiki pesawat dari London ke Los Angeles.

 

Media British melaporkan, ketika kejadian mereka merancang untuk bercuti di Disneyland.

 

Keluarga itu disahkan untuk mengembara ke Amerika Syarikat dengan penerbangan ke California pada 15 Disember lalu, bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat oleh pegawai Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Gatwick.

 

The Guardian mendedahkan salah seorang ahli keluarga itu bernama Mohammad Tariq Mahmood.

 

Mahmood adalah pemilik gimnasium yang lahir di Pakistan mendakwa beliau dihampiri oleh agen kawalan sempadan British sebelum menaiki pesawat.

 

Menurut Mahmood walaupun Kedutaan Amerika Syarikat di London dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di Washington dihubungi untuk mengulas laporan itu, bagaimanapun katanya, mereka tidak memberitahu sebarang maklumat.

 

“Saya berasa malu dan anak-anak saya menangis kerana sedih. Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini,” katanya kepada Metro UK.

 

Minggu lalu, seorang pengembara Islam, Ajmal Masroor juga dihalang untuk memasuki pagar tanpa penjelasan ketika lelaki itu mahu menaiki pesawat ke New York, lapor USA Today.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.