Perkasa Lapor Polis Viral Gambar Bakar Gereja

KUALA LUMPUR – Perkasa membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar di laman sosial Facebook kononnya NGO itu bertanggungjawab membakar gereja.

 

Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya kecewa dengan individu yang terbabit menyebarkan gambar yang tidak benar itu.

 

Menurutnya, gambar tersebut merupakan gambar yang diedit dan gereja itu adalah sebuah gereja di Indonesia.

 

“Kita kesal dengan kejadian ini, apatah lagi ia mengaitkan nama Perkasa. Selain bukan sahaja boleh mendatangkan kemarahan orang di Malaysia, tetapi mencetuskan fitnah di luar negara yang mengatakan kita rasis,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 4 petang, semalam.

 

Beliau berkata, ini merupakan laporan kedua sejak tahun lalu membabitkan isu sama.

 

Katanya, pihaknya agak kesal selepas laporan polis yang sejak tahun lalu itu masih tiada tindakan termasuklah daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dan suspek yang bertanggungjawab dapat ditangkap kerana ia dilihat sebagai satu provokasi untuk menjatuhkan Perkasa dan sebagainya.

 

“Kami juga gesa polis dan SKMM menyiasat perkara ini walaupun dilihat seperti tiada orang berkepentingan dalam gambar tersebut,” katanya.

 

Tambahnya, Perkasa tidak bermusuh dengan sesiapa dan pihaknya berharap bahawa perkara ini perlu diselesaikan segera kerana ia boleh menjejaskan nama baik Perkasa.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.