Peminat Tegar Tonton Star Wars 46 jam Tanpa Henti

Seperti pelari jarak jauh yang bakal mendepani larian puluhan kilometer atau pendaki profesional yang bakal menakluk puncak tertinggi, Jim Braden telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi satu ujian ketahanan.

 

Misi Braden: untuk mengesan Force dalam diri dan membuktikan pada dunia bahawa beliau peminat sejati Star Wars.

 

Penghalang beliau bukanlah gunung-ganang atau denai larian tetapi kerusi besar yang lengkap dengan pemegang gelas.

 

“Saya nak buktikan minat saya,” Braden memberitahu Variety. “Saya membesar dengan Star Wars. Sebagai kanak-kanak, saya terpesona dengan mesej moral yang ringkas (dalam filem ini). Semua orang suka watak baik yang boleh disokong.”

 

Braden, pegawai strategi kandungan Dell, merupakan salah seorang dari tujuh peserta yang mendaftar untuk pertandingan maraton filem Star Wars di Alamo Drafthouse.

 

Kesemua peserta dijanjikan pulangan hebat: tiket wayang percuma selama tujuh tahun dan lambakan barangan koleksi pengumpul Star Wars.

 

Bagi memenangi kesemua hadiah, mereka perlu menonton kesemua enam filem Star Wars terdahulu dan disambung dengan The Force Awakens yang ditayangkan berulang kali tanpa henti.

 

“Kami menyediakan trofi kecil yang tertulis ‘ultimate champion’ di atasnya,” ujar John Smith, pengarah kreatif Alamo Drafthouse yang menganjurkan pertandingan tersebut. “Anehnya, kami menawarkan hadiah berjumlah puluhan ribu dolar tetapi para peserta nampaknya lebih berminat untuk merebut gelaran itu.”

 

Selepas lampu pawagam dinyalakan semula dan peserta terakhir menyerah kalah, Braden tampil peserta tunggal yang masih bertahan.

 

Beliau telah menonton Star Wars selama 46 jam, termasuk The Force Awakens yang ditonton sebanyak sembilan kali berturut-turut.

 

“Kami berdepan dengan seksaan fizikal dan mental,” kata Braden. “Menonton (dalam tempoh itu) seolah-olah satu pengalaman halusinasi. Ada peserta yang mengadu sakit dada dan tarik diri.”

 

Braden memberitahu beliau telah membuat kajian mengenai teknik pernafasan dan sesi latihan SEAL untuk kekal segar ketika duduk di dalam pawagam.

 

Beliau juga membuat keputusan untuk mengambil kafein setiap enam jam dan hanya makan kekacang dan buah-buahan agar kekal lapar.

 

Dalam aspek pakaian, beliau memilih seluar pendek dan selipar agak kesejukan. Strategi ini membuat beliau sentiasa tidak selesa dan tidak tertidur.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.