Maulidur Rasul Bina Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum – YDP Agong

SERDANG – Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mengajak segenap lapisan rakyat untuk terus menghayati Sambutan Maulidur Rasul bagi membina perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

 

Bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi negara’, baginda percaya tunjang kepada kemakmuran negara ini adalah persefahaman dan perpaduan yang kukuh.

 

Titahnya lagi, adalah penting semua rakyat agar sentiasa memelihara hubungan baik antara satu sama lain, toleransi dan saling hormat menghormati demi mengekalkan perpaduan sedia ada.

 

“Misalnya, kejayaan Rasulullah SAW menyatupadukan umat Islam untuk hidup aman damai bersama-sama dengan orang bukan Islam di Madinah seharusnya menjadi teladan buat kita semua.

 

“Rasulullah juga telah berjaya menyatukan individu serta puak-puak yang mempunyai latar belakang berbeza sehingga membentuk masyarakat baharu yang diikat dengan Piagam Madinah,” titahnya.

 

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

 

Hadir sama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Aminah.

 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.