10,000 Kad Pengenalan Haiwan Didaftarkan

KUALA LUMPUR – Pendaftaran 10,000 haiwan peliharaan di negara ini adalah bukti rakyat Malaysia bersifat penyayang kepada haiwan demi melindungi binatang kesayangan mereka, termasuk ular dan beruk.

 

Mereka mendaftarkan binatang kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mendapatkan Kad Pengenalan Haiwan Malaysia atau pasport haiwan, iaitu sistem  mikrocip bersaiz kecil, yang ditanam di bawah kulit haiwan melalui suntikan.

 

Pegawai Veterinar Seksyen Kawalan dan Pembasmian Penyakit, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Zawida Zahari berkata sejak sistem itu diperkenalkan pada 2010, jumlah pendaftaran meningkat sekali ganda kepada 2,000 pendaftaran direkodkan pada 2014 berbanding 1,000 pendaftaran pada tahun-tahun sebelumnya.

 

“Kesedaran terhadap pemilikan pasport haiwan semakin meningkat berikutan kepekaan orang ramai untuk menjadi lebih bertanggungjawab melindungi haiwan kesayangan mereka selain membantu mengesan haiwan itu sekiranya hilang,” katanya kepada Bernama di sini.

 

Menurutnya pasport haiwan merupakan satu dokumen rasmi kerajaan yang hanya dikeluarkan setelah haiwan peliharaan didaftarkan melalui jabatan itu atau veterinarawan bertauliah, yang berdaftar.

 

Dr Zawida berkata berdasarkan rekod semasa ramai pemilik datang untuk mendaftarkan haiwan peliharaan mereka seperti anjing, kucing, kuda dan arnab, serta yang terbaru adalah ular dan beruk pada kadar RM30 setiap pendaftaran.

 

Beliau berkata pasport haiwan penting kerana ia membolehkan pemilik haiwan mengumpul semua maklumat yang diperlukan mengenai haiwan itu di dalam satu dokumen.

 

“Haiwan yang didaftar diberikan mikrocip bersaiz kecil. Mikrocip itu unik hanya untuk haiwan itu sahaja dan pemilik akan dapat satu pasport haiwan kesayangan mereka yang mengandungi nombor mikrocip, maklumat tentang haiwan dan pemilik berserta gambar haiwan itu,” katanya.

 

Selain maklumat penting mengenai kesihatan haiwan kesayangan direkod di dalam satu buku sahaja, pendaftaran pasport haiwan turut memudahkan kawalan penyakit sekiranya berlaku wabak berpunca daripada jenis haiwan yang dipelihara.

 

“Terdapat beberapa buah negara seperti di Amerika dan Eropah yang memerlukan pelancong mengemukakan pasport haiwan apabila membawa masuk haiwan peliharaan ke negara mereka.

 

“Ia memudahkan untuk pegawai di sempadan atau di pintu masuk sesebuah Negara untuk mengesahkan kesihatan dan rekod imunisasi haiwan kesayangan anda,” katanya.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.