Tikus Berkeliaran Di Restoran Makanan Arab Di Bukit Bintang

Kuala Lumpur – Kehadiran tikus yang berkeliaran di dalam sebuah restoran makanan arab terkemuka di Bukit Bintang amat memeranjatkan seorang pelanggan yang sedang menjamu selera.

Menurut pengadu yang menghubungi SuaraTV, kejadian itu berlaku ketika beliau sedang menjamu selera bersama keluarganya.

“Kami sekeluarga singgah di restoran Arab tersebut untuk makan malam selepas penat membeli-belah barang keperluan persekolahan anak.

“Namun sebaik sahaja memesan makanan, saya secara tidak sengaja ternampak kelibat tikus di dalam restoran tersebut” ujar beliau kepada SuaraTV yang enggan mendedahkan identitnya.

Terkejut dengan kejadian tersebut dia bersama keluarganya segera membatalkan pesanan makanan sebelum bertindak meninggalkan restoran terbabit.

“Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dinggini seperti keracunan makanan dan virus kencing tikus, saya segera membatalkan pesanan makanan yang dibuat” ujarnya lagi.

Terdahulu Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Hayati Abdullah berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 73 restoran di kawasan Bukit Bintang telah diarah tutup sementara bagi tujuan pembersihan kerana gagal menepati standard kebersihan yang ditetapkan.

Menurutnya jumlah tersebut adalah paling banyak berbanding kawasan lain dalam kawasan pentadbiran DBKL.

Katanya, rata-rata pemilik premis di kawasan ibu kota itu memberi alasan pelanggan ramai menyebabkan mereka tidak berkesempatan membersihkan restoran.

“Walau sesibuk manapun sesebuah restoran itu, pihak pengurusan perlu sekurang-kurangnya membuat jadual tetap untuk membersihkan restoran setiap hari.

“Jika kakitangan premis menangguhkan kerja pembersihan sehingga berbulan-bulan, tidak hairanlah jika restoran dipenuhi lipas dan tikus sehingga menyebabkan keracunan makanan kepada pelanggan,” katanya ketika Operasi Mesra Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL awal tahun ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.