‘Tidak Goyang’ Dengan 7 Perkataan, Hanya Sekali Lafaz Puteri Jadi Isteri Yang Sah

Pontian – Seorang pengarah syarikat ‘tidak goyang’ untuk bergelar suami apabila berjaya menyebut nama isterinya yang mengandungi tujuh perkataan dengan 53 huruf hanya sekali lafaz akad nikah yang berlangsung pada 12 Disember lalu.

Kamalrrudin Ahmad, 31, berkata meskipun nama isterinya, Siti Normayatullah Rabiyatul Arbiah Maizurati Armida Puteri Md Arif, 18, panjang berjela-jela, namun dia tidak mempunyai masalah menyebutnya dengan lancar ketika akad nikah.

“Ramai juga kenalan yang bertanya bagaimana saya akan menyebut nama isteri dengan sekali lafaz akad nikah.

“Bagi saya, itu semua tiada masalah kerana saya berlatih menyebut nama isteri beberapa hari sebelum majlis akad nikah berlangsung,” katanya yang dipetik Harian Metro di rumahnya di Kampung Sawah Dalam, Pekan Nenas, di sini.

Sebelum ini, kad jemputan pasangan berkenaan menjadi ‘viral’ kerana keunikan nama isterinya yang dipanggil Puteri.

Puteri yang juga anak kempat daripada sembilan beradik berkata, dia bangga kerana nama panjang yang dimiliki itu adalah pilihan ibu bapanya selain setiap daripadanya mempunyai maksud tertentu bagi seorang Islam.

Sementara itu, menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tiada halangan untuk mendaftarkan nama yang panjang asalkan nama berkenaan tidak lebih 80 aksara meliputi ruang kosong, bin, binti dan nama bapa.

Sebelum ini, JPN pernah memaklumkan nama Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah Airom Anizam sebagai nama terpanjang di Malaysia. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.