Rela, NGO, JKKK Bergabung Bantu Mangsa Banjir Seluruh Kelantan

Kuala Lumpur – Semua anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diharap dapat menggembleng tenaga dan membantu hampir 30,000 mangsa banjir di seluruh Kelantan.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, bantuan makanan termasuk kemudahan radio dan komunikasi diperlukan untuk penyelaras bantuan banjir mengesahkan dan mengemas kini situasi semasa di kawasan tertentu.

“Kita harap semua agensi dapat turun ke sini dan bantu seboleh mungkin. Kita perlu cari jalan agar bantuan ini diberi secara sistematik dan tersusun.

“Kemudahan komunikasi radio yang ada perlu dibawa ke lokasi tertentu. Banyak masalah putus hubungan berlaku dan kita tidak dapat perkembangan terkini di lokasi kejadian.

“Banyak pusat pemindahan juga sudah mula dinaiki air, tumpuan perlu diberi kepada mereka dan cuba dapatkan akses untuk lokasi pemindahan yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Annuar di dalam catatan terkini Facebooknya mencadangkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) mengisytihar darurat di kawasan yang terjejas akibat bencana banjir khususnya di Hulu Kelantan.

Annuar turut menyeru menyegerakan intervensi tentera kerana kenderaan dan peralatan tidak mencukupi di mana pihak MKN perlu bertindak pantas atau menggerakan tentera ke kawasan bencana terutama di Laloh, Kampung Karangan dan Manek Urai di Kuala Krai.

Dalam pada itu katanya, orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang menyusahkan agensi bantuan selain meresahkan mangsa sendiri.

“Berita-berita palsu dari WhatsApp ini mengganggu mangsa dan menyukarkan agensi yang manu membantu, cukuplah menyebarkan berita seumpama ini kerana ia tidak membantu langsung.

“Semua maklumat harus menggunakan pusat penyelarasan rasmi, sebab itu saya tekankan kembali mana-mana agensi yang mempunyai peralatan radio perlu memberi bantuan dan meningkatkan tahap komunikasi masing-masing,” jelasnya.

Jelasnya, mangsa juga diminta bertenang dan sentiasa mengutamakan keselamatan masing-masing.

“Doalah keadaan segera kembali sediakala dalam masa terdekat, bantulah apa yang boleh. Mangsa juga perlu saluran laporan yang betul dan mempercayai hanya maklumat daripada pusat rasmi banjir di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Pada Selasa, berpuluh kediaman rosak dalam banjir yang paling buruk melanda seluruh Hulu Kelantan yang berlarutan sejak beberapa hari lepas.

Selain Kelantan, lebih 21,606 mangsa dipindahkan di Terengganu, Pahang (10,825), Perak (1,030), Sabah (336) dan Perlis (143). – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.