Jika DAP Terus Pertikaikan Hudud, PAS Akan Kaji Semula Tahaluf Siyasi

Kota Bharu – PAS akan mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat (PR) sekiranya DAP terus mempertikaikan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob berkata, penilaian semula perlu dilakukan oleh parti Islam itu kerana terdapat ketegangan antara parti komponen yang tidak sependapat dalam isu hudud.

“Apa-apa perjanjian atau kerjasama boleh dinilai semula apabila menampakkan sesuatu tindakan yang mampu mencetuskan ketegangan.

“Penilaian semula ini supaya kita boleh melihat di mana titik tolak tahaluf siyasi itu dalam konteks yang sebenar,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din juga sebelum ini menegaskan hudud merupakan nyawa kepada PAS yang tidak akan digadaikan walau atas apa alasan sekalipun.

Jelasnya, beberapa kritikan yang dilakukan oleh DAP terhadap PAS yang mempersoal dan mempertikai hukum hudud telah ‘mengoyak’ syarat tahaluf siyasi (kerjasama politik) dalam pakatan pembangkang.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, perkara ini tidak seharusnya berbangkit kerana persetujuan berhubung isu hudud ini telah dicapai sewaktu awal penubuhan PR dahulu.

“Kita sudah capai satu persetujuan sebelum ini, pada masa itu (Pengerusi DAP) Karpal Singh masih ada iaitu kita ‘setuju untuk tidak bersetuju’ dalam hal ini.

“Pas bersetuju yang DAP tidak bersetuju dengan isu hudud ini dan menghormatinya,” katanya sambil menambah perkara itu terbuka untuk dibincangkan dengan mana-mana pihak.

“Sebab itu kita menunggu tarikh mesyuarat PR seperti yang disebut (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan pada awal Januari,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.