Jalan Runtuh : Laluan Jeli Grik Ditutup

Kota Bharu – Laluan timur barat dari Jeli ke Grik, Perak ditutup kepada semua kenderaan kerana jalan di kilometer (km) 66 berhampiran kawasan rehat dan rawat (RnR) Banjaran Titiwangsa runtuh malam ini.
Difahamkan sebahagian daripada jalan tersebut runtuh akibat hujan lebat sepanjang hari.
Memetik laporan Metro Online sebuah lori ayam terjunam ke dalam gaung.
“Malam ini tersebar gambar jalan runtuh di laluan Jeli-Gerik, 1 KM selepas R&R banjaran Titiwangsa. Sebuah lori ayam terjunam ke dalam gaung.
“Kami menghubungi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad dan beliau mengesahkan kejadian itu. Kami juga dapat menghubungi pemilik lori ayam itu.
“Lima lori saya tidak dapat menghantar bekalan ayam hidup ke Kota Bharu. Satu daripadanya terjunam ke dalam gaung, bagaimanapun pemandunya selamat,” kata Zukila Draman, 36.
Zukila atau terkenal dengan panggilan Jukee Ayam adalah pemilik lori yang terjunam ke dalam gaung selepas jalan runtuh di Kilometer 63 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, 8.40 malam tadi.
Terdahulu, gambar mengenai kejadian berkenaan tersebar di laman sosial dengan pelbagai andaian.
Menurutnya, lori yang terjunam ke dalam gaung itu membawa muatan 3,200 ekor ayam.
Pada masa sama, jalan di km 40 jalan Lojing, Gua Musang turut runtuh dan laluan ditutup untuk semua kenderaan.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Supritendan Azli Mohd. Noor.
Beliau berkata, pihak polis sedang menunggu maklumat lanjut kerana kejadian baru berlaku. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.