Kes Lelaki Indonesia Dipukul, Disamun Tiada Kaitan Dengan Bola Sepak – PDRM

KUALA LUMPUR – Polis percaya kejadian samun dan pukul melibatkan seorang lelaki warga Indonesia di Bukit Bintang di sini, Selasa lepas, tidak mempunyai kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kes berkenaan diklasifikaskan sebagai kes samun memandangkan mangsa iaitu Fuad Naji kehilangan pasport dan sejumlah wang.

Menurut Huzir, polis menerima laporan daripada Fuad yang memaklumkan telah dipukul serta disamun sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan pukul 2 pagi.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan telah dibuka dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan lelaki warga Indonesia itu kerana pegawai penyiasat tidak dapat merekod kenyataan daripada beliau pada hari kejadian.

“Mangsa (Fuad) terus menghilangkan diri setelah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sebaik selesai membuat laporan di Pondok Polis Hospital.

“Usaha mengesan Fuad di hotel juga menemui jalan buntu dan polis menggesa agar beliau serta rakan yang menjadi mangsa tampil membantu siasatan,” katanya.

Menurut Huzir, polis akan memohon kerjasama Kedutaan Indonesia untuk memaklumkan kepada Fuad tentang perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu yang merakam serta menyebarkan rakaman video tular yang dikatakan menunjukkan beberapa warga Indonesia dipukul.

“Mana-mana individu atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan insiden itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Baru-baru ini, satu video berdurasi kira-kira 48 saat telah tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa warga Malaysia, yang didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!