VIDEO: Rentap Night, Pertandingan Muay Thai Percuma

KUALA LUMPUR – Buat julung kali penduduk di kawasan Ampang dan Pandan berpeluang menyaksikan pertandingan muay Thai profesional di kawasan mereka pada 29 Disember depan.

Dikenali sebagai Rentap Night, pertandingan akan dijalankan secara percuma di Kompleks Muhibbah Ampang Jaya bermula pukul 9 malam.

Pengarah Teknikal Rentap Night, Fairul Ezly Ramli berkata, sebanyak tujuh pasangan akan digandingkan dalam acara lekat regu pada malam pertandingan.

“Pertandingan akan dijalankan secara terbuka dan setakat ini sebanyak 15 pasukan telah mengesahkan kehadiran. Jumlah tersebut sudah cukup banyak dan di luar jangkaan kami.

“Bagaimanapun, buat masa ini penyertaan hanya dalam kalangan peserta tempatan sahaja dan kami juga buka kepada peserta luar jika mereka berminat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Fairul Ezly berkata, pertandingan akan dijalankan mengikut sistem K-O di mana peserta hanya akan diisytihar sebagai pemenang jika berjaya menumbangkan lawan.

Jika tidak, katanya perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri.

Jelas beliau, setiap perlawanan akan dijalankan sebanyak lima pusingan dengan setiap pusingan memakan masa tiga minit.

“Sebelum itu, pada sebelah pagi kami akan adakan pertandingan muay Thai untuk peringkat amatur yang akan disertai peserta seawal usia 12 tahun.

“Justeru, saya menjemput orang ramai datang ke pertandingan ini kerana tiada bayaran dikenakan, mari manfaatkan peluang ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.