Model Baru Proton X70 Tarik Tumpuan Ramai Di Pameran Permotoran

KUALA LUMPUR – Model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 mencuri tumpuan pada acara pembukaan Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 18) di sini, Jumaat.

Pameran tersebut yang bermula pada Jumaat akan berakhir pada 2 Disember depan.

Lima unit Proton X70 dibawa khas ke ruang pameran tersebut dan orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat model baharu yang akan dilancarkan pada 12 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong, berkata pelancaran model terbaharunya itu dijangka akan meningkatkan lagi jualan Proton pada tahun ini dan mengukuhkan kedudukan syarikat pada 2019.

“Kita telah mengecap beberapa kejayaan dalam Proton X70 walaupun ia belum dilancarkan sepenuhnya lagi seperti pengesahan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan ASEAN NCAP.

“Pelbagai usaha telah dilakukan kami bagi membuktikan model baharu ini akan memberikan perubahan besar kepada syarikat.

“Bagi membuktikan kesungguhan kami dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan, mereka yang membuat tempahan awal model X70 akan menerima kenderaan mereka sejurus selepas pelancaran diadakan,” katanya.

Pameran KLIMS 18 dibuka kepada orang ramai bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam pada hari biasa manakala 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu.

Orang ramai juga berpeluang memenangi sebuah kereta Toyota C-HR, Honda City atau Perodua Myvi menerusi cabutan bertuah.

Tiket masuk ke KLIMS 18 berharga RM20 pada hari biasa dan RM25 pada hujung minggu boleh dibeli secara dalam talian di https://airasiaredtix.com atau KLIMS 18 website www.klims.com.my.

Bagi kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun, tiket masuk boleh dibeli pada harga RM5.

Harga yang sama boleh dinikmati golongan pelajar dan juga warga emas pada hari biasa sahaja. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.