ICERD: Kerajaan Perlu Nyatakan Secara Rasmi Di Parlimen, Elak Keputusan Bersifat Sementara

KERAJAAN perlu menyatakan pendirian jelas dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen bagi membuktikan keputusan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) benar-benar kukuh dan bukan hanya bersifat sementara.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selain itu, isu berkenaan perlu menjadi pengajaran terutamanya buat pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP supaya lebih berhati-hati ketika mencadangkan usul berkaitan isu sentisif yang membelakangkan kontrak sosial negara terutamanya Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

Katanya, kerajaan tidak harus sesekali menyentuh perkara berkaitan agama Islam, institusi Raja, kepentingan orang Melayu dan Bumiputera kerana ia sudah lama dipersetujui seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Lebih baik tumpukan usaha membela rakyat yang ketika ini tertekan dengan pelbagai isu terutamanya kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan harga komoditi yang memberikan kesan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil.

“Semua isu terbabit masih tidak ditangani secara serius, namun UMNO akan terus membela dan mempertahankan kepentingan rakyat Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini.

“Berhubung isu Perhimpunan Aman Ummah pada 8 Disember pula, nantikan keputusan rasmi pimpinan tertinggi UMNO, PAS dan pertubuhan bukan bukan kerajaan (NGO) nanti… saya fikir ia perlu diteruskan kerana perhimpunan ini bertujuan membela rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kabinet semalam secara sebulat suara bersetuju tidak akan meratifikasi ICERD selepas mengambil kira kebimbangan umum termasuk keselamatan nasional negara.

 

Penasihat Lawyers For Liberty, N Surendran

Dalam perkembangan lain, penasihat Lawyers For Liberty, N Surendran, berkata keputusan ‘u-turn’ yang diambil kerajaan itu ternyata memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, pemimpin gagal menunjukkan tekad dan keberanian yang tinggi malah kekurangan ‘suara-suara kuat’ dalam Kabinet menyebabkan ICERD tidak diratifikasi walaupun jelas perjanjian itu tidak akan menggugat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Sesetengah pemimpin dan Ahli Parlimen PH secara terbuka menyeru supaya ratifikasi ditangguhkan dan tindakan itu tidak boleh dimaafkan.

“Walaupun tidak salah untuk kerajaan ambil keputusan terbabit, namun adalah bahaya sekiranya ia dibuat berdasarkan hujah-hujah palsu,” katanya. – HMetro

4 thoughts on “ICERD: Kerajaan Perlu Nyatakan Secara Rasmi Di Parlimen, Elak Keputusan Bersifat Sementara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.