Anwar Akui Ratifikasi ICERD Ditangguh, Bukan Dibatalkan

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui usaha meratifikasi ICERD ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada tadbir urus negara terlebih dahulu, lapor FMT.

“Pendirian saya ialah anda membincangkan isu ini panjang lebar dan kemudian tangguhkannya dalam proses…kerana kita mahu fokus kepada tadbir urus dan membangunkan institusi terlebih dahulu,” katanya, sambil menambah kerajaan komited terhadap dasar menolak amalan bersifat diskriminasi.

Memetik laporan yang sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus berbincang dengan rakyat dan yakin orang ramai akan memahami kerumitan isu itu.

Kenyataan tersebut mencetuskan tanda tanya umum apakah pendirian sebenar kerajaan setelah pemimpin utama PH itu mengakui usaha meratifikasikan ICERD hanya ditangguhkan, dan bukannya dibatalkan seperti mana desakan pelbagai pihak.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataannya berkata kerajaan PH tidak akan meratifikasikan ICERD dan memberi jaminan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui semua wakil kaum.

Berita Berkaitan;-

ICERD: Kerajaan Perlu Nyatakan Secara Rasmi Di Parlimen, Elak Keputusan Bersifat Sementara

Kaum Bukan Melayu Tidak Berhak Tuntut Ratifikasi ICERD, Kata Dr Low Yong San

Mahathir Dakwa Isu ICERD Mungkin Jadi Kecoh Kerana Hasutan Zahid

ICERD Akan Merugikan Melayu dan Bumiputera – Bekas Ketua Hakim Negara

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, rakyat ingin tahu pendirian jelas kerajaan dalam isu ini sama ada ratifikasi itu ditangguh atau dibatalkan.

“PM (Perdana Menteri) menyatakan adalah mustahil ICERD dilaksanakan kerana ia memerlukan pindaan perlembagaan. PH tak ada majoriti dua pertiga untuk pinda perlembagaan. Apakah kalau ada majoriti itu, pindaan perlembagaan akan dibuat untuk memberi laluan perlaksanaan ICERD?

“Rakyat mahu dapatkan pendirian lebih jelas dan tegas. Tapi yang jelasnya PH tak mampu nak berhadapan dengan gelombang penyatuan orang Melayu untuk mempertahankan hak,” katanya, laporan Sinar Harian.

Sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membuat kenyataan mengelirukan apabila berkata mustahil ratifikasi ICERD dilaksanakan namun di masa yang sama mengakui kerajaan PH cuba melaksanakan sepenuhnya atau sebahagian dari ICERD.

“Kerajaan tidak nyatakan yang kita akan laksanakannya. Tapi kita akan mencuba laksanakannya sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian daripadanya, itu bukan perkara utama,” ujarnya, juga dipetik dari laporan Sinar Harian.

Berita Berkaitan;-

ICERD Sebenarnya Baik, UMNO Punca Suasana Tidak Stabil – Khalid Samad

Cetek Pengetahuan Sejarah & Perlembagaan, Punca Pemimpin PH Mahu Laksana ICERD – Dr Teo Kok Seong

Banyak Negara Majoriti Penduduk Islam Yang Ratifikasikan ICERD, Kata Lim Kit Siang

Terdahulu, isu ratifikasi ICERD mencetuskan bantahan sebahagian besar orang Melayu Islam dan Bumiputera apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy membangkitkan keperluan melaksanakan ratifikasi ICERD selaras dengan manifesto PH.

“Saya ingin menyatakan bahawa meratifikasi konvensyen-konvensyen ini termasuk ICERD adalah selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Komitmen ini bukan sahaja diberi oleh saya tetapi juga Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mujahid Rawa. Ia diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini,” kata P Waytha Moorthy, yang juga adalah Pengerusi Hindraf pada akhir bulan lalu.

Pengumuman tersebut dikritik pelbagai pihak berikutan kebimbangan tindakan meratifikasikan ICERD dilihat bercanggah dengan perlembagaan negara serta akan menghakis hak keistimewaan orang Melayu Islam dan kaum Bumiputera, serta menjejaskan kepentingan agama Islam. – SuaraTV

10 thoughts on “Anwar Akui Ratifikasi ICERD Ditangguh, Bukan Dibatalkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.