WIEF Catat Kejayaan Kupas Pengetahuan ‘Perubahan Disruptif’

KUCHING – Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-13 yang berakhir semalam, mencatat kejayaan besar susulan acara itu telah mengupas pengetahuan mengenai ‘perubahan disruptif’ dalam kalangan peserta dengan berkesan dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi perkembangan pesat dalam ekonomi digital.

Forum tersebut, bertemakan, ‘Perubahan Disruptif: Kesan dan Cabaran’, membuktikan ia menyedari mengenai keadaan yang mereka hadapi.

Ia menangani isu kebimbangan di peringkat global, termasuk keperluan terhadap inovasi dan kreativiti oleh negara-negara untuk mengatasi impak dan cabaran dalam memastikan kemakmuran ekonomi yang saksama berikutan perubahan disruptif.

Kebimbangan mengenai implikasi ekonomi yang serius daripada krisis berkaitan kemanusiaan dan pelarian, termasuk yang memberi kesan kepada Rohingya dan pelarian lain yang memerlukan campur tangan antarabangsa bersepadu, turut dibincangkan pada forum selama tiga hari itu yang berlangsung dari 21 Nov, 2017.

Topik mengenai kepentingan untuk memelihara hubungan antara ekonomi digital dan ekonomi hijau dibincangkan pada hari kedua forum tersebut.

“WIEF Ke-13 mencatatkan kejayaan yang besar dan merupakan edisi kami yang paling baik.

“Kami menumpukan khusus kepada mewujudkan peluang dan langkah bagi perniagaan, negara dan komuniti — misi yang WIEF berada pada kedudukan unik untuk melaksanakannya,” kata Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam, pada sidang media semalam.

Cadangan daripada pelbagai sesi forum tersebut, antara lain, termasuk meneruskan transformasi digital seperti teknologi terkini untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam sektor terpilih seperti pertanian, pembuatan, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan pembangunan kemahiran serta latihan.

Forum tersebut turut mencadangkan persekitaran bagi pembangunan Wakaf dan kewangan sosial sebagai komponen penting dalam industri kewangan Islam selain menggalakkan pembangunan ekosistem halal.

Ia juga mencadangkan peningkatan kerjasama serantau antara kerajaan untuk menggalakkan ekonomi hijau, khususnya teknologi hijau dan pemuliharaan hidupan liar termasuk spesies yang menghadapi ancaman kepupusan.

Rangka kerja pengawalseliaan yang sesuai telah dicadangkan pada forum tersebut untuk menghadapi perubahan disruptif membabitkan teknologi kewangan, ‘blockchain’, mata wang kripto dan lain-lain.

WIEF menjadi platform yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, ketua industri, ahli akademik, pakar serantau, profesional dan pengurus korporat untuk membincangkan peluang bagi kerjasama perniagaan dalam dunia Islam.

Edisi ke-13 itu telah mengatasi perbincangan WIEF sebelum ini dengan menarik 3,249 peserta dari lebih 77 buah negara, merupakan wakil daripada komuniti global yang paling pelbagai dalam sejarah forum itu.

Hari pertama forum tersebut menyaksikan ucapan khas daripada lima pemimpin – Perdana Menteri Maghribi, Dr Saad Eddine El Othmani, Naib Presiden Kesatuan Comoros, Djaffer Ahmed Said Hassani, Presiden Tatarstan (Persekutuan Rusia), Rustam Nurgaliyevich Minnikhanov dan Menteri Perancangan Pembangunan Negara Indonesia, Bambang Perrnadi Soemantri Brodjonegoro serta Naib Presiden Bank Pembangunan Islam, Dr Mohamed Jouin.

Kemuncak forum itu adalah pembentangan oleh Pengasas Bersama Apple Inc, Steve Wozniak.

Program khas ‘Sarawak Focus’ yang meliputi Peluang Pelaburan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Inisiatif Negeri Sarawak mengenai Ekonomi Digital dan Sarawak sebagai Destinasi Pelancongan Premium turut diadakan pada forum tersebut.

Forum itu turut menyaksikan pemeteraian 16 memorandum persefahaman (MOU) bernilai US$2.43 bilion (US$1 = RM4.09), nilai komersial tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah WIEF.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan pemeteraian MoU itu, yang membabitkan sektor teknologi, makanan halal dan tenaga.

Sembilan daripada MoU tersebut, adalah dengan organisasi antarabangsa.

Selain nilai komersial, MoU itu memberi impak yang besar kepada komuniti perniagaan global dengan mewujudkan kerjasama baharu, pembukaan pasaran baharu dan memperkenalkan kaedah baharu untuk memanfaatkan peluang yang wujud daripada pelbagai kuasa disruptif yang membentuk dunia hari ini.

WIEF telah mendapat sambutan yang baik daripada negara lain untuk menganjurkan edisi ke-14 dan jawatankuasa penganjur telah menyenarai pendek negara tuan rumah yang berpotensi tetapi belum dimuktamadkan. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.