Orang Ramai Beratur Dalam Hujan Beli Ikan, Ayam Murah Dari Jamal

SHAH ALAM – Walaupun hujan renyai, ratusan orang sanggup beratur untuk membeli ikan dan ayam murah yang dijual di pasar ‘jualan ikan murah’ di sini yang dikelolakan oleh ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Orang ramai berhimpun di kawasan pasar malam dekat pangsapuri Seksyen 7 di sini seawal pukul 3.30 petang Khamis.

Produk makanan laut seperti ikan kembung, ikan cencaru, ikan sardin, ikan mabong dijual pada harga RM5 sekilogram sementara ayam proses pada RM10 seekor.

Bagaimanapun, Jamal tidak kelihatan di pasar berkenaan pada Khamis.

Pengerusi Barisan Nasional Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, ia merupakan kali kedua pasar tersebut diadakan di Shah Alam.

“Sebelum ini ia diadakan di Seksyen 24 di mana lima tan ikan dan dua tan ayam proses terjual dalam masa beberapa jam.

“Maklum balas yang diterima daripada akar umbi begitu memberangsangkan berikutan rakyat mampu membeli makanan segar pada harga lebih murah dan kita berharap untuk meneruskan inisiatif ini di Shah Alam setiap bulan.

“Hari ni saja, lebih dua tan ikan segar terjual dalam masa kurang sejam,” katanya ketika ditemui di sini.

Azhari yang juga Ketua Umno Bahagian Shah Alam berkata, harga ikan dijual begitu murah membuktikan bahawa orang tengah mengambil kesempatan menjualnya pada harga tinggi.

Selain ikan segar dan ayam proses, pasar tersebut turut menjual gas memasak dengan harga RM20 setiap satu, dan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran pada harga lebih murah. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.