Ahli DAP Yang Juga Pakar Undang-undang Anggap Mahathir Bodohkan Diri Sendiri

Seorang pakar undang-undang perlembagaan, Abdul Aziz Bari meminta bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya mengakui terkhilaf dalam penilaiannya selepas menyatakan beliau bertindak atas nasihat polis ketika membuat tangkapan besar-besaran di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987 dan kes liwat Anwar Ibrahim.

Aziz yang juga ahli DAP berkata demikian ketika desakan semakin kuat agar Mahathir meminta maaf terhadap tangkapan bawah ISA yang dikenali sebagai Ops Lalang pada 1987 dan ketika memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 atas tuduhan liwat.

Semasa Ops Lalang pada 1987, seramai 106 orang ditahan tanpa bicara. Mahathir bagaimanapun berulangkali mengatakan Ops Lalang dikendalikan pihak polis dan beliau tidak ada kuasa untuk membantah perintah penahanan.

Susulan itu, Aziz berkata, bahawa dalam sistem parlimen seperti Malaysia, kerajaan semasa yang mempunyai keputusan muktamad dan harus memikul tanggungjawab.

Malah kata Aziz, jika benar polis membuat keputusan itu, ini bermakna Malaysia mempunyai seorang perdana menteri yang “bodoh” dan pasukan polis yang menguasai segala-galanya.

“Kita tahu Mahathir sedang bermain politik tetapi dalam proses itu, beliau membodohkan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Aziz, undang-undang tidak boleh dibaca secara literal, jika tidak diktator akan masuk melalui pintu belakang. Sama seperti tanggapan Yang di-Pertuan Agong melantik kerajaan mengikut kebijaksanaan. Tafsiran literal mengenai tanggapan ini yang menimbulkan masalah selama ini.

“Penahanan ISA pada asasnya adalah penahanan eksekutif yang wujud di negara-negara seperti Malaysia. Ia adalah legasi pemerintahan penjajah yang bertentangan dengan demokrasi.

“Sama seperti pendakwaan di mana proses itu bermula dengan siasatan polis. Kes yang disebutkan di atas memerlukan lampu hijau atau kelulusan politik. Sama seperti pengampunan diraja, Seri Paduka tidak bertindak sendiri, walaupun baginda mempunyai kata putus,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun pada 15 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.