Wanita Maut Jatuh Tingkat 11

Kuala Lumpur – Seorang wanita yang dipercayai warga asing ditemui mati, selepas terjatuh dari tingkat 11 Kondominum Prima 2, Setapak, pada Ahad.

Mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditemui pengawal keselamatan kondominium berkenaan, kira-kira jam 6.30 pagi.

Mangsa ditemui berlumuran darah di bawah kereta Proton Waja, setelah menghempap sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di tempat letak kenderaan kondominium itu, dengan kecederaan parah, termasuk pecah di bahagian kepala serta patah beberapa bahagian anggota badan lain, iaitu kaki dan pinggang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, DSP Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, tiada penghuni lain di kondominium itu yang mengenali mangsa.

“Kita menemui peralatan menghisap dadah di rumah yang dipercayai menjadi tempat mangsa terjatuh.

“Jeriji besi dan pintu rumah berkenaan terbuka serta kosong.

“Kita percaya mangsa bukanlah warganegara Malaysia, kerana tiada sebarang suntikan vaksin BCG (Bacille Calmette-Guerin) pada lengannya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat punca kejadian dan ketika ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kerana tiada unsur jenayah ditemui.

Menurut Asmadi lagi, polis sedang berusaha mengesan pemilik unit rumah itu bagi membantu siasatan.

Jatuh 2

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.