VIDEO: PAU Selepas Budget, Tidak Timbul Isu Hilang Aura

Kuala Lumpur – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata tidak timbul sebarang isu berhubung gesaan yang mengatakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang diadakan selepas pembentangan belanjawan telah hilang ‘aura’.

“Mereka boleh menyuarakan juga cara bagaimana untuk melaksanakan sesuatu usul, kerana masa depan dan ekonomi negara tidak berkisar pada pembentangan budget setahun.

“Kita boleh bincang mengenai Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk tempoh masa lima tahun yang belum dibentangkan lagi” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis diskusi bersama Bona Fide Friends of Umno (BFF) anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Hishamuddin berkata perancangan negara dalam ekonomi dijalankan secara berterusan pada setiap tahun manakala suara UMNO perlu kedengaran dalam konteks ‘survival’ perjuangan yang diwarisi sejak dahulu.

Portal myKMU sebelum ini berkata Perubahan masa PAU ini ke hujung tahun sebenarnya sangat tidak strategik dan menimbulkan beberapa masalah kepada ahli.

Menurut portal tersebut dari segi kepentingan strategik, PAU diadakan selepas pembentangan Bajet menyebabkan banyak usul yang dicadangkan tidak dapat disegerakan.

“Usul-usul PAU 2014 misalnya hanya dapat dilaksanakan dalam Bajet tahun 2016 yang akan dibentangkan pada hujung tahun hadapan.

“Ini bukan sahaja menyebabkan usul PAU hilang aura, malah orang tidak lagi perasan atau peka bahawa apa yang disebutkan dalam Bajet sebahagiannya adalah hasil usul yang dibawa oleh UMNO” ujar penulisnya melalui artikel ‘Kembalikan Perhimpunan Agung UMNO ke bulan Jun’.

Sementara itu menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin PAU yang diadakan selepas budget tidak bermakna perwakilan tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pendirian atau mencadangkan usul-usul yang boleh dilaksanakan.

“Ada beberapa usul yang dihantar kepada kementerian telah mendapat maklumbalas dan tindakan yang positif.

“Jadi tidak menjadi persoalan yang besar sekiranya perhimpunan ini diadakan sebelum atau selepas budget” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.