Tidak Terganggu Dengan Kritikan Tun M Dan Tun Daim

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak terganggu dengan kritikan Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin terhadap beberapa program kerajaan seperti BR1M.
“Kalau seluruh ahli Umno menyokong dan keadaan ini tidak menimbulkan krisis dalam parti jadi saya anggap (kritikan ini) sebagai pendapat yang berbeza dalam dasar-dasar dan tindakan kerajaan,” kata Najib.
“Setakat ini nampak ahli Umno tidak mengambil apa-apa sikap yang menentang pucuk pimpinan dan sebagainya. Mereka menghormati Tun sebagai pemimpin lama tetapi mereka terus memberi sokongan kepada kepimpinan sekarang,” kata presiden Umno itu.
Najib berkata beliau peka terhadap teguran Mahathir dan Daim mengenai pemberian BR1M namun berkata ‘ramai menyokong daripada tidak menyokong’ program itu.
“Kalau ramai yang kata BR1M tak bagus, saya bersedia nak kaji semula. Tetapi ke mana saya pergi pun, orang ramai kata mereka mahukan BR1M malah mahu ditambah jumlahnya,” kata Najib kepada Mingguan Malaysia.
“BR1M dibuat bukan kerana mahu beli undi tetapi kerana kita naikkan harga minyak,” kata Najib.
Mahathir dan Daim menyifatkan BR1M sebagai program yang tidak realistik untuk menarik sokongan rakyat dan menggesa ia dikaji semula.
BR1M diperkenalkan pada tahun 2012  dengan bantuan kewangan permulaan RM500 yang menokok kepada RM950 tahun depan.
Bantuan itu memberi manfaat kepada lebih enam juta isi rumah atau 80 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata  desakan segelintir pihak supaya di tutup sekolah aliran Cina dan Tamil tidak bersandarkan realiti politik negara.
“Tidak mungkin sokongan orang Cina (kepada BN) dapat di tambah jika pada nafas yang sama kita tuntut sekolah Cina ditutup,” kata beliau.
“Kalau langkah kita (menutup sekolah Cina) menyebabkan sokongan untuk Umno dan BN menurun tentu sekali apa yang kita lakukan tidak memberi faedah kepada kita,” kata beliau.
Perwakilan pada Perhimpuan Agong Umno ke-68 yang bermula lusa di jangka berbahas mengenai hala tuju sekolah Cina dan Tamil.
Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang menawarkan persekolahan bahasa Cina dan Tamil yang dibiayai kerajaan.
Bagaimanapun beberapa pihak mempersoalkan sama ada sistem persekolahan Cina dan Tamil membantut integrasi kaum di negara ini.
Najib berkata realiti politik adalah calon Umno di bandar memerlukan sokongan pengundi Cina.
“Pemimpin Umno juga ada yang minta peruntukan untuk sekolah Cina kerana dalam kawasan dia banyak pengundi Cina, ada kawasan majoriti Melayu cuma 53 peratus,” kata beliau.
“Kalau dia tidak dapat sebahagian daripada 47 pengundi bukan Melayu, dia tidak mungkin menang, Ini realiti politik yang kita kena terima,” kata Najib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.