Syed Ali : Teresa Kok ‘Batu Api’

Kuala Lumpur – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menyangkal dakwaan Naib Presiden DAP, Teresa Kok yang kononnya UMNO takut isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibahaskan oleh para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 (PAU 2014) minggu depan.

Beliau berkata, kedudukan 1MDB telah diperjelaskan oleh kerajaan di Parlimen dan tidak ada lagi keperluan mengapa isu tersebut perlu diperbahaskan.

“Saya cuma menentang sekeras-kerasnya tindakan Teresa Kok cuba mencampuri urusan UMNO, apa hak beliau untuk mendesak perwakilan UMNO membahaskan isu tersebut.

“Dia tak faham agaknya, saya kata mengapa dia sibuk menyalak menjelang perhimpunan agung UMNO, siapa dia ni?,” tegasnya menerusi entri terbarunya umnobahagiancheras.blogspot.com.

Syed Ali yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan turut menyifatkan Teresa Kok sebagai ‘batu api’ yang melagakan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Teresa Kok ternyata berniat jahat, ambil kesempatan untuk lagakan saya dengan Dr Mahathir.

“Sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir boleh bercakap, UMNO tak halang kerana kita mengambil saranan dan teguran itu secara positif,” ujarnya.

Kok baru-baru ini menerusi sebuah portal mengingatkan Syed Ali bahawa isu 1MDB bukan kecil tapi merupakan skandal terbesar negara dan ia sendiri dipersoalkan Dr Mahathir.

“Adakah Syed Ali juga akan mendakwa Dr Mahathir mempolitikkan isu 1MDB untuk mencemarkan imej Najib?” kata Kok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.