Petronas Catat Sejarah Dalam F1 Dengan Pasukan Mercedes AMG

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Petronas mencatat sejarah tersendiri selaku rakan teknikal dan pengeluar formula bahan bakar kepada pasukan Mercedes AMG Petronas apabila muncul juara kategori Pengeluar Formula Satu (F1) Kejuaraan Dunia FIA 2014.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Liz Kamaruddin berkata kejayaan itu merupakan kejayaan yang amat manis apabila setelah beberapa tahun berkerjasama akhirnya mereka berjaya menikmati kemenangan itu.

Beliau berkata kejayaan itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membuktikan bahawa teknologi yang dimiliki Petronas setanding dengan pengeluar bahan bakar lain.

“Saya berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh pasukan Mercedes AMG Petronas apabila memenangi 16 daripada 19 perlumbaan musim ini dan itu membuktikan bahawa teknologi petrol dan bendalir yang dimiliki Petronas amat sesuai dengan keadaan enjin pasukan Mercedes AMG.

“Kami akan memastikan prestasi seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang sekali gus membuktikan bahawa bukan pasukan lain sahaja mampu mencatat kemenangan berturut-turut, kami juga mampu melakukannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menonton perlumbaan pusingan terakhir F1 di Abu Dhabi dan majlis meraikan kejayaan pasukan itu di sini, semalam.

Menurut Liz, Petronas akan meneruskan kerjasama dalam pembangunan permotoran pada masa akan datang.

Selain pasukan Mercedes AMG Petronas muncul selaku juara kategori pengeluar, pelumba pasukan itu Lewis Hamilton dari Britain turut muncul juara keseluruhan kategori pemandu selepas mengumpul 384 mata manakala rakan sepasukan, Nico Rosberg dari Jerman pada tempat kedua dengan 317 mata.

Sementara itu, Liz berkata dalam majlis itu, Petronas dan rakan sekerja secara eksklusif membawakan suasana bertemakan Arab bagi membuatkan tetamu yang hadir berasa seolah-olah berada di Abu Dhabi.

“Kita tidak dapat untuk berada di sana bersama-sama meraikan kejayaan manis itu, jadi kami bawakan susana ala Arab dengan harapan mereka (tetamu) dapat merasai seperti berada di Abu Dhabi,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.