Nenek Buta Hidup Sendirian Dalam Kedaifan

Sungai Siput – Sayu hati sepasukan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tatkala menjejakkan kaki mereka di perkampungan Orang Asli Kuala Mu, di sini baru-baru ini apabila bertemu seorang nenek buta yang hidup dalam kedaifan.

Apatah lagi, di kala mata mereka menyaksikan nenek itu sedang sibuk mengais saki baki beras dalam guni kosong untuk dimakan.

Hanya setelah yakin guni itu benar-benar kosong, dengan mata yang gelap gelita serta tangan tiada bertenaga, dia meletakkan guni itu ke tepi.

Bertambah pilu apabila melihat tangan si nenek teraba-raba mencari cawan, sedangkan cawan yang dicapai kosong apabila diteguk.

Penduduk setempat yang ditemui memaklumkan, usia nenek itu sudah mencecah 100 tahun dan hidupnya sebatang kara serta hanya mengharap ihsan jiran tetangga.

Kata penduduk itu lagi, dengan mata yang tidak dapat melihat sejak beberapa tahun lalu, kehidupan nenek itu sangat mencabar.

Siapa sangka ALLAH menemukan pasukan NGO terbabit dengan nenek tua itu untuk merawat hati mereka dengan sinar keinsafan dan kesyukuran di Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

Untuk itu, bagi mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berhubung dengan penganjur kembara ‘Xtreme Amal 4x4’ di page rasmi Muslim Volunteer Malaysia di laman Facebook dan Instagram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.