Mukhriz Kecewa Tindakan Individu Pukul Suspek Bakar Al-Quran

Alor Setar – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir melahirkan rasa kesal dengan tindakan tiga individu yang dilaporkan telah memukul sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang suspek yang didakwa telah membakar naskah al-Quran.

Mukhriz berkata tindakan tiga individu terbabit merupakan satu kesalahan kerana melanggari undang-undang negara.

“Saya kesal dengan tindakan liar tiga individu yang tanpa usul periksa telah mencederakan seorang lelaki lain, dan kes membakar beberapa buah kedai di medan selera di situ.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa ianya satu tindakan yang melanggari undang-undang” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menteri Besar itu turut menjelskan hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak polis mendapati al-Qutan tersebut tidak dibakar sebaliknya dikoyakkan oleh seorang lelaki berbangsa Melayu yang tidak siuman.

“Saya telah mengarahkan Majlis Perbandaraan Alor Setar  supaya memperbaiki segera gerai-gerai yang rosak akibat perbuatan liar individu-individu berkenaan.

“Pihak pejabat Undang-Undang Negeri juga telah menyediakan dua kerats siasatan berhubung dengan dakwaan kejadian koyak al-Quran dan kes memukul orang awam untuk diserahkan kepada Peguam Negara” katanya lagi.

Polis sebelum ini dilaporkan telah menahan seorang lelaki berhubung penemuan beberapa cebisan helaian al-Quran yang dikatakan dibakar di dalam tong di sebuah medan selera berhampiran sebuah pasar di Alor Setar.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof dalam satu kenyataan sebelum ini berkata lelaki itu ditahan di sebuah pasar raya di Mergong. kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian.

Katanya lelaki itu, yang belum diketahui maklumat dirinya, akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan.

“Mengikut keterangan peniaga-peniaga di pasar itu, lelaki berkenaan sentiasa dilihat berkeliaran di kawasan pasar dan sentiasa membakar kertas-kertas di tempat pembakaran terbabit,” katanya.

Beberapa cebisan al-Quran itu ditemui oleh seorang peniaga setelah dimaklumkan individu lain, lalu beliau melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Menurut fakta kes, polis telah menerima aduan mengenai perkara itu pada pukul 10 pagi tadi sebelum menghantar anggota ke tempat kejadian yang terletak berhampiran sebuah tokong dan menemui beberapa cebisan kertas yang dipercayai al-Quran.

Pada mulanya seorang peniaga mendapat tahu mengenai perkara itu setelah dimaklumkan seorang individu lain sebelum beliau membuat laporan polis.

Peniaga berkenaan, Mohd Fauzi Shariff, 53, terkejut selepas menemui beberapa cebisan helaian al-Quran yang dipercayai dibakar dalam sebuah tong aluminium di sebuah medan selera berdekatan Pasar Besar Alor Setar.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang lelaki berusia 30-an yang tidak dikenalinya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Beliau berkata beliau dibawa lelaki tersebut ke tempat itu bagi melihat sendiri cebisan Al-Quran di dalam tong tersebut sebelum beliau melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan Jabatan Agama Islam.

“Saya lihat ada cebisan al-Quran di atas penutup tong aluminium yang dijadikan tempat membakar kertas dan bila saya buka penutup tong itu, saya nampak ada lagi beberapa cebisan di dalam tong yang dipenuhi abu.

“Masa saya buka tong apinya sudah padam, mungkin ia dibakar sebelum itu,” katanya kepada pemberita.

Mohd Fauzi berkata beliau tidak sempat bertanyakan lelaki itu bagaimana dia mengetahui perkara tersebut kerana lelaki berkenaan terus berlalu selepas membawanya ke situ.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid meminta pihak polis menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Saya kecewa al-Quran diperlaku sebegitu rupa sedangkan orang Islam mempunyai kaedah yang betul untuk melupuskan Al-Quran,” katanya ketika dihubungi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.