Kandungan Luar Rahim, Amber Keguguran Anak Kedua

Kuala Lumpur – Kegembiraan model terkenal Amber Chia untuk menimang cahaya mata kedua diakhiri dengan berita sedih apabila dimaklumkan mengalami keguguran akibat kandungan luar rahim.

Amber, 33, berkata, dia mengalami komplikasi dalam rahim dan disebabkan itu dia perlu menjalani rawatan di Hospital Pantai Kuala Lumpur dekat sini.

“Sebenarnya pada tahun 2008, saya telah pun menjalani satu pembedahan. Ketika itu, doktor kata peluang untuk saya mengandung agak tipis akibat pembedahan itu.

“Tetapi saya bersyukur dapat melahirkan anak sulung, Ashton Wong yang kini berusia 4 tahun. Cuma tidak sangka pula saya terpaksa berhadapan dengan pembedahan itu lagi.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika itu apabila doktor memberitahu saya mengandung. Kemudian doktor mengatakan kandungan itu gugur. Perasaan itu bercampur baur, saya pasrah,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.

Tambah Amber, pada mulanya dia berasa sedih kerana komplikasi yang dialaminya membuatkan dia menyangka tiada lagi harapan untuk mengandung lagi.

Tambah pula dia dan suaminya, Adrian Wong sedang berharap untuk mendapatkan anak perempuan pula.

“Tetapi doktor kata, saya boleh mengandung lagi. Bagaimanapun saya tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Biarlah keadaan saya sihat sepenuhnya. Lagipun kita perlu meneruskan hidup seperti biasa.

“Dan tidak perlu terlalu bersedih kerana saya masih boleh bersyukur kerana sudah pun mempunyai seorang anak berbanding segelintir pasangan lain yang masih berusaha untuk mendapatkan anak,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.