Kanak-Kanak Sasaran Terbaru IS

Beirut – Selepas gadis dan wanita, kini kanak-kanak dan remaja pula menjadi sasaran rekrut kumpulan Negara Islam (IS).

Terbaru, sekumpulan remaja yang dilengkapi senjata api, dikesan mengawal di beberapa pos kawalan dan persimpangan sibuk di Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq, dengan lengan kiri pakaian seragam mereka mempunyai logo Polis Islam.

Di Raqqa, sebuah bandar di timur laut Syria, kanak-kanak menyertai kem latihan dan kursus keagamaan, sebelum mereka menuju ke medan perang.

Ada pula yang akan berkhidmat sebagai tukang masak dan pengawal di ibu pejabat kumpulan ekstrimis itu, atau sebagai pengintip di kawasan kejiranan mereka.

Kumpulan itu giat mengambil kanak-kanak dan remaja belasan tahun sebagai pejuang mereka, demikian menurut bukti-bukti yang diperolehi daripada penduduk setempat, aktivis, pakar bebas dan kumpulan hak asasi manusia.

Di Kobani, sebuah bandar di utara Syria, di mana etnik Kurdistan berdepan pembunuhan beramai-ramai oleh IS sejak berminggu lalu, beberapa akvitis mendedahkan, mereka melihat kanak-kanak turut berjuang bersama anggota militan dewasa.

Seorang aktivis yang berpangkalan di Kobani, Mustafa Bali berkata, dia ternampak mayat empat kanak-kanak, dengan dua daripadanya tidak melebihi 14 tahun dan sekurang-kurangnya seorang lagi berusia 18 tahun yang dikatakan melancarkan satu serangan berani mati.

Di wilayah Aleppo, seorang aktivis yang bergabung dengan pemberontak Tentera Pembebasan Syria mendakwa, pejuangnya bertembung remaja belasan tahun yang menyertai pertempuran IS menentang kumpulan lawan.

Adalah sukar untuk menentukan sejauh mana eksploitasi kanak-kanak oleh IS, memandangkan tiada statistik boleh dipercayai berhubung kerahan tenaga membabitkan generasi muda.

Namun, sebuah panel Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat jenayah perang di Syria membuat kesimpulan, kumpulan IS melakukan jenayah perang dan penganiayaan dalam skala besar dan cara sistematik.

Panel itu dalam satu laporan baru-baru ini berkata, IS menjadikan kanak-kanak sebagai keutamaan dalam mendapatkan pejuang setia, berdedikasi, patuh kepada ideologinya dan menjadikan keganasan sebagai cara hidup mereka.

Panel pakar yang dikenali sebagai Suruhanjaya Inkuiri Antarabangsa Bebas tentang Syria itu telah menemu bual lebih 300 penduduk yang melarikan diri atau tinggal di kawasan dikuasai IS, selain memeriksa bukti berdasarkan rakaman video dan gambar.

Wakil khas kepada Setiausaha Agung PBB untuk kanak-kanak dan konflik bersenjata, Leila Zerrougui berkata, kumpulan pemberontak dan militan mengeksploitasi kanak-kanak dalam konflik atau perang bukan perkara baru, namun cara IS berbeza, kerana mereka ‘mendidik’ kanak-kanak menggunakan penafsiran undang-undang syariah yang radikal dan ganas.

“Ini bukan fenomena kecil. Ini adalah sesuatu yang telah diperhatikan dan dilihat menjadi sebahagian daripada strategi kumpulan itu.

“Kanak-kanak diculik dan dipaksa menyertai mereka. Mereka membasuh otak dan mengindoktrinasikan kanak-kanak untuk menyertai kumpulan itu,” katanya sambil menambah, kanak-kanak seawal usia 9 atau 10 tahun dikerahkan mengisi pelbagai jawatan dalam kumpulan berkenaan.

Laurent Chapuis, penasihat perlindungan kanak-kanak untuk Dana Kecemasan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di Timur Tengah dan Afrika Utara berkata, kumpulan itu agak telus dan terbuka dalam kegiatan merekrut kanak-kanak.

“Kanak-kanak pada usia 10 dan 12 tahun dipergunakan untuk pelbagai peranan, sebagai pejuang, utusan, pengintip, pengawal keselamatan, tukang masak, pencuci dan kadang kala merawat pejuang cedera,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di bandar Fallujah, Iraq memutuskan untuk berpindah ke bandar Kirkuk, selepas mendapati anak lelakinya berusia 6 tahun bermain pistol air sambil melaungkan slongan: “Saya pejuang IS!”

“Kanak-kanak belajar, tetapi bukan untuk ilmu pengetauan, sebaliknya untuk menjadi mujahidin,” katanya.

Seorang lagi penduduk di bandar Fallujah memberitahu, ramai kanak-kanak lelaki seawal usia 11 tahun menyertai IS secara sukarela, namun kumpulan itu akan mendapatkan persetujuan ibu bapa bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun.

Katanya, ada yang menyertai IS disebabkan tekanan dan untuk mendapatkan wang.

“Sebaik sahaja mereka selesai menjalani latihan, kemahiran dan kebolehan mereka akan diuji sebelum peranan mereka ditentukan. Ramai yang mahu berada di barisan hadapan,” kata Abu Abdullah al-Falluji.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.