Kanak-Kanak Maut Dilanggar Bapa Sendiri

Balik Pulau – Seorang kanak-kanak lelaki maut dilanggar kereta bapanya di hadapan rumah mereka di Jalan Baru di sini, hari ini.

Muhammad Syamil Ziqri Jamzaidi, yang berusia 18 bulan, meninggal dunia pada 11.58 pagi ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Siti Nor Salawati Saad berkata dalam kejadian 11.30 pagi, bapa mangsa cuba menghidupkan enjin kereta sebelum kenderaan itu secara tiba-tiba bergerak ke hadapan dan merempuh anaknya.

“Polis telah merekodkan keterangan bapa kanak-kanak itu. Menurutnya kereta berkenaan mempunyai gear semasa enjin dihidupkan menyebabkan ia terus bergerak ke hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.