Ibrahim Ali Gesa Kerajaan Hapuskan Sekolah Vernakular

Kuala Lumpur – Putrajaya mesti menghapuskan semua sekolah vernakular kerana ia menghalang perpaduan negara, dan menggantikannya dengan sekolah satu aliran, gesa satu gabungan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak Melayu.

Melalui satu Memorandum Perpaduan Negara, mereka berkata hari ini, Putrajaya boleh menutup mulut mana-mana kumpulan pendidikan “radikal” yang menentang langkah itu, seperti Dong Zong, melalui ancaman membatalkan pendaftaran mereka.

“Ketegasan ini perlu kerana beberapa aliran sekolah yang sudah wujud sekian lama tidak kondusif kepada usaha mempromosikan dan mengukuhkan perpaduan nasional di Malaysia,” menurut memorandum itu yang dirangka sebuah jawatankuasa dipengerusikan Ketua Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

“Jika cadangan memansuhkan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) ditentang pertubuhan seperti Dong Zong, kerajaan Malaysia mesti mengkaji semula pertubuhan ini dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kenapa pendaftaran mereka tidak patut dibatalkan.

“Dalam erti kata lain, tiba masanya kerajaan Malaysia bertindak tegas terhadap mana-mana kumpulan pendidikan yang radikal menentang usaha memupuk perpaduan negara, termasuk Dong Zong dan yang seumpamanya.”

Memorandum itu menggesa Putrajaya menjelaskan kepada rakyat kaitan antara Dong Zong dengan “Suqiu”, sebuah “pergerakan ultra-chauvinis” Cina yang pernah membuat 83 tuntutan dari Putrajaya pada 1999.

Katanya, Putrajaya tidak harus tunduk kepada tekanan dari aktivis pendidikan bukan Bumiputera.

“(Sekolah vernakular) bertentangan matlamat mengubah sistem pendidikan negara kepada satu mekanisme bagi mewujudkan perpaduan negara di kalangan pemuda berbilang kaum di Malaysia.

“Inilah sebabnya kenapa sistem itu dikatakan menimbulkan perpecahan antara kaum, agama dan budaya, dan mengancam perpaduan negara,” menurut memorandum itu.

Memorandum tersebut dibahaskan lebih 300 wakil NGO Melayu pada Konvensyen Perpaduan Negara di Kuala Lumpur hari ini sebelum diluluskan petang ini.

Kumpulan itu berhasrat menyerahkan memorandum itu kepada kerajaan, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

Bagaimanapun, dalam satu wawancara khas disiarkan Mingguan Malaysia hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Umno tidak boleh menutup sekolah Cina sekiranya ia hendak meningkatkan sokongan kaum Cina.

“Ini kerana tidak mungkin sokongan orang Cina dapat ditingkatkan jika pada nafas yang sama kita tuntut sekolah Cina ditutup,” katanya.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hapuskan-sekolah-cina-diamkan-dong-zong-ngo-melayu-gesa-putrajaya#sthash.6hETwXtA.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.