Adnan Yaakob Saman Utusan RM15 Juta

Shah Alam – Ekoran satu artikel di dalam akhbar Utusan Malaysia yang melontarkan kritikan terhadapnya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bertindak menghantar surat tuntutan guaman kepada akhbar tersebut.

Surat berkenaan yang bertarikh 18 November itu dihantar syarikat guaman Manjeet Singh Dillon dengan nilai tuntutan saman berjumlah RM 15 juta.

Perkara itu didedahkan kolumnis akhbar berkenaan, Awang Selamat di dalam ruangan analisis mingguan, hari ini.

“Sekadar makluman, tidak molek komen lebih kerana bakal jadi kes mahkamah,” tulis kolumnis berkenaan lagi.

Artikel tersebut yang disiarkan dalam ruangan Analisis Mingguan pada 9 November lalu bertajuk ‘Hebat Sangatkah Adnan’ dikatakan mengkritik pemimpin berkenaan berhubung isu kebanjiran warga asing di Cameron Highlands.

Artikel itu yang juga ditulis oleh Awang Selamat mempersoalkan mengapa Adnan perlu melatah dan emosional terhadap pendedahan akhbar berkenaan berhubung isu di tanah tinggi tersebut, sedangkan ia adalah tidak lain hanya mempunyai agenda keselamatan rakyat.

Dalam artikel tersebut juga, Adnan disifatkan sebagai seorang pemimpin yang angkuh dan tidak boleh menerima teguran, selain kerap menuding jari kepada pihak media.

“Awang seperti tidak percaya ada pemimpin bertaraf menteri besar yang berfikir seperti itu. Inilah masalahnya kalau sudah lama sangat sandang jawatan dan terleka dalam zon selesa sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri.

“Ulat pun disangka ular. Beliau sepatutnya belajar dengan menteri besar lain yang mengambil positif dan menjadikan laporan media sebagai peluang untuk menangani sesuatu isu dengan lebih berkesan.

“Memandangkan keangkuhannya, Awang bagi pihak Utusan ada hak untuk menyanggah beliau. Menggunakan kuasa politik untuk membuli media, tidak boleh dibiarkan,” tulis kolumnis berkenaan.

Awang dalam tulisannya turut memberi amaran sudah tiba masanya Adnan yang menjadi menteri besar sejak 1999 itu berundur dari jawatannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.