KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani dibimbangi hanya berpeluang mentadbir negara cuma sepenggal sekiranya penyasaran subsidi petrol RON95 tetap dilaksanakan pada pertengahan tahun depan seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025.
Kegusaran itu disuarakan wakil rakyat kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) di mana beliau menggesa kerajaan untuk memperhalusi dan mengkaji semula cadangan penyasaran subsidi petrol RON95.
“Saya menyokong penyelarasan subsidi diesel oleh kerajaan, saya sokong. (Kemudian) berlakulah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, saya berkempen di sana, saya mempertahankan kerajaan (namun) kalah parti kerajaan, parti saya (PKR) kalah.
“Jadi saya sayangkan kerajaan PMX ini, kalau boleh (nak) menang dalam pilihan raya akan datang.
“Tapi kalau laksanakan (penyasaran subsidi petrol) RON95 ini saya bimbang mungkin kita sepenggal saja.
“Jadi sebenarnya, orang kaya ini dia tak pakai RON95, RON97 pun dia tak pakai dia pakai kereta elektrik. (Justeru) yang kita aniayakan golongan ini (T15) apasal? soal beliau di Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 pada Khamis.
Hassan berkali-kali dalam ucapannya mengingatkan agar kerajaan tidak menganiaya golongan T15 dengan meneliti semula langkah penyasaran subsidi petrol yang dicadang kerajaan.
Dalam perincian Belanjawan 2025, kerajaan cadang laksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan 2025, penjimatan akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.
Subsidi petrol RON95 bakal dipotong sebanyak RM8 bilion untuk golongan T15 manakala harga RM 2.05/liter akan kekal buat 85 peratus rakyat.
Perdana Meneri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan yang dicapai itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat seperti dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.
“Bagi mengelak kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk rakyat terbabit.
“Maknanya kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion bagi keperluan 85 peratus rakyat,” katanya.