Rekahan Babitkan Tanah Yang Ditambak

IPOH: Pemeriksaan mendapati rekahan tanah di Kampung Pawong, Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Jalan Cameron Highlands, dekat sini, berlaku membabitkan kawasan yang ditambak dan bukan di tanah asal.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil, berkata rekahan yang berlaku adalah sepanjang 50 meter dengan kelebaran dan kedalaman masing-masing sehingga 1.2 meter dan 1.5 meter.

Katanya, tiga daripada 15 rumah paling terjejas dengan rekahan itu yang jajarannya selari dengan jajaran tebing sungai.

“Setelah berbincang dengan pihak bomba berdasarkan keadaan rekahan yang berlaku, semua enam rumah dalam satu deretan perlu dikosongkan dan penghuni berpindah ke rumah berhampiran yang lebih selamat.

“Difahamkan penempatan ini yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Simpang Pulai, dibina sekitar tahun 2008.

“Pemerhatian tapak rekahan menunjukkan ia adalah tanah yang ditambak dan bukannya tanah asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zukni berkata, jarak rumah dari tebing sungai adalah 10 meter dan di kawasan penempatan itu juga terdapat sebuah surau.

Beliau berkata, ketinggian tebing sungai adalah 60 meter dengan 45 hingga 60 darjah kecerunan.

“Disimpulkan lokasi rekahan ke tebing sungai hanya 10 meter dan ketinggian tebing kira-kira 60 meter.

“Hujan yang amat lebat membolehkan hakisan tanah terjadi dan menghasilkan rekahan tanah selari dengan jajaran aliran sungai,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah semua penghuni rumah perlu berpindah dan bukan hanya terhad kepada enam rumah seperti dinasihatkan hasil perbincangan JMG dan JBPM, Ahmad Zukni berkata penempatan berkenaan di bawah kawalan

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan adalah lebih sesuai pihak berkenaan menjawabnya.

“Pandangan saya, masih tidak selamat lagi atas faktor cuaca dan kedudukan yang hampir dengan tebing sungai,” katanya.

Semalam, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesahkan pihaknya menerima maklumat kejadian jam 3.03 petang dan sepasukan anggota diarahkan ke lokasi kejadian mendapati kejadian itu menyebabkan beberapa rumah mengalami keretakan kecil, namun tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Berikutan kejadian itu pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak/Kedah, mengarahkan semua penduduk yang kediaman mereka terjejas akibat pergerakan tanah itu supaya berpindah ke lokasi yang lebih selamat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.