Muhamad Zahid Tarik Balik Rayuan Berhubung Audit 1MDB

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip, menarik balik rayuan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Ketua Audit Negara mengklasifikasikan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Muhammad Zahid berkata, anak guam beliau menarik rayuan itu kerana tindakan berkenaan kini sudah bersifat akademik.

Beliau berkata, ia berikutan kerajaan pusat sudah mengeluarkan Laporan Audit Negara 1MDB daripada diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 15 Mei lalu.

Katanya, pihak berkuasa berkaitan juga sedang mengambil langkah-perlu terhadap pihak tertentu berhubung laporan 1MDB.

“Justeru, tujuan Muhammad Zahid mengambil tindakan ini sebelum ini sudah tercapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Prosiding hari ini diadakan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam.

Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhasan bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia dan dua yang lain selaku responden.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Muhammad Zahid bagi mencabar tindakan mengklasifikasikan laporan audit 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Mereka memfailkan permohonan itu secara berasingan dengan menamakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonannya, Mohamed Azmin menuntut perisytiharan bahawa tindakan Najib adalah suatu konflik kepentingan apabila mengarahkan Ambrin mengklasifikasikan laporan ketua audit itu sebagai ‘Rahsia Rasmi’ di bawah peruntukan Seksyen 2B OSA 1972.

Sementara itu, Muhammad Zahid memfailkan permohonan berasingan terhadap responden sama, memohon suatu perintah supaya laporan akhir 1MDB boleh diakses orang awam.

Muhammad Zahid adalah bekas Mursyidul Am Pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) dan seorang ahli perniagaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.