MLM 2018: Ada Peminat Kata Tamak, Apa Pula Kata Bocey?

Kejayaan kumpulan lawak popular Bocey yang dianggotai oleh Abam, Achey dan Fad menggondol kejuaraan dua musim program realiti Maharaja Lawak Mega (MLM) berturut-turut pada tahun 2016 dan 2017 adalah suatu pencapaian yang boleh dianggap luar biasa.

Jika kebanyakan peserta terdahulu memilih untuk mencuci tangan selepas beberapa kali menyertai MLM, berbeza pula dengan Bocey yang masih setia untuk bertanding di pentas yang dianggap keramat buat pelawak di Malaysia ini.

Keterujaan mereka menyertai MLM 2018 membuatkan ada sesetengah pihak menyalahertikan niat sebenar Bocey sehingga ada mengatakan tiga sekawan ini tidak pernah berpuas hati dan tamak untuk bergelar juara serta mengaut wang kemenangan.

Menafikan dakwaan tersebut, Bocey berkata keterbukaan mereka kembali menyertai MLM 2018 yang bakal bersiaran pada 2 November depan tidak pernah didorong oleh wang ringgit yang ditawarkan mahupun mengejar takhta juara buat kali ketiga.

Mereka yang ditemui pada majlis sidang akhbar MLM 2018 di Palace Of The Golden Horses baru-baru ini memberitahu Bocey memiliki sebab tersendiri mengapa sehingga kini belum menolak menyertai pertandingan tersebut.

KOSMO!: Adakah Bocey sedar bahawa ramai peminat mempersoalkan tentang penyertaan anda untuk MLM 2018 sedangkan anda sudah dua kali bergelar juara?

BOCEY: Ya, kami sedar akan perkara itu dan ada yang mengatakan kami terlalu tamak. Sejujurnya, Bocey masih lagi ingin bertanding dalam MLM kerana ini adalah satu-satunya pentas yang mampu membuktikan kami masih relevan di dalam industri. Tolak ke tepi soal hadiah dan juara, Bocey bertanding bukan hanya kerana dua perkara tersebut. Kami berharap peminat memahami bahawa sebagai pelawak, hanya MLM tempat yang membolehkan kami bersaing secara sihat dengan pelawak-pelawak lain sekali gus menimba ilmu baharu dalam bidang ini.

Tidakkah penyertaan anda menutup ruang buat pelawak lain bagi mencuba nasib dalam MLM?

Kami tidak berhak menjawab soal itu kerana ia berkait rapat dengan rezeki masing-masing. Lagipun penyertaan kami mengikut saluran yang betul. Kami menghantar video dan menjalani uji bakat seperti orang lain. Tiada kelebihan atau keistimewaan yang diberikan oleh pihak Astro hanya kerana Bocey sudah bergelar juara dua kali.

Apakah perbezaan yang Bocey bakal tampilkan untuk musim terbaharu ini?

Bagi musim ini, kami bertiga sudah berazam untuk seboleh-bolehnya mengelak membuat lawak fizikal iaitu mempersendakan rupa paras, berat badan atau cacat cela diri masing-masing.

Memandangkan Abam juga kini sudah berjaya mengecilkan sedikit badannya maka ia sesuatu yang baik untuk niat kami itu. Kami mahu membuat lawak yang lebih berilmu dan berfaedah, bukan menggunakan apa yang ada di depan mata sahaja.

Bagaimanakah gelaran juara bertahan akan membantu anda untuk pertandingan kali ini?

Sebenarnya gelaran juara tidak memberi sebarang kelebihan kerana penonton akan mengharapkan sesuatu yang lebih daripada Bocey dan ia secara tidak langsung memberikan kami sedikit tekanan. Peminat sudah terbiasa dengan lawak-lawak Bocey jadi kami perlu lebih banyak membuat kerja rumah dan tidak boleh bersandarkan pada sesuatu yang klise.

Siapakah pesaing yang paling anda geruni bagi musim ini?

Kami risaukan peserta-peserta baharu kerana peminat tidak pernah melihat persembahan mereka, jadi ia menjadi suatu misteri sehinggalah pentas MLM 2018 dibuka. Kami sendiri tidak tahu setakat mana kemampuan dan senjata rahsia mereka jadi itu yang akan menjadi cabaran paling besar buat Bocey bagi musim kali ini. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.