Menang atau Kalah Final Piala Malaysia, Terengganu Tetap Cuti Peristiwa Ahad Ini

KUALA TERENGGANU – Biarpun wisel sepak mula bagi menentukan juara perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak belum bermula, kerajaan negeri sudah mengisytiharkan cuti peristiwa pada Ahad ini.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri memutuskan Ahad sebagai cuti peristiwa lebih awal bagi membolehkan jabatan dan agensi kerajaan serta semua sekolah di negeri ini menyusun semula jadual tugas masing-masing.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan persetujuan EXCO yang bermesyuarat hari ini.

“Apa juga keputusan, Terengganu tetap cuti Ahad ini, tetapi saya yakin dengan semangat seluruh pemain, sejarah menjuarai Piala Malaysia pada 2001 akan berulang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Noor Hamzah.

Ahmad Samsuri meminta lebih 30,000 penyokong yang akan ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini mengutamakan keselamatan dan tidak melakukan pelbagai provokasi sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketika mengulas insentif sekiranya Terengganu menjuarai Piala Malaysia, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan memberi imbuhan kepada pasukan itu.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi imbuhan, tetapi bentuknya akan diumumkan nanti,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.