Kutipan Hutang PTPTN Merosot, Kalau Dah Pinjam Mereka Kena Bayar Balik – Timb. Menteri

KUALA LUMUR – Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hari ini mendedahkan kutipan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turun sebanyak RM506.78 juta.

Teo berkata penurunan dilihat selepas kerajaan sekarang mengeluarkan nama peminjam bermasalah daripada senarai hitam imigresen, tetapi penurunan itu disebabkan oleh tindakan kerajaan dulu memanjangkan tempoh tangguh (grace period) pembayaran balik pinjaman daripada 6 bulan kepada 12 bulan.

“Saya tidak menafikan selepas mengeluarkan peminjam PTPTN dari senarai hitam ada penurunan (kutipan bayaran PTPTN), tetapi itu bukan sebab utama.

“Pada 2017 semasa pembentangan Bajet 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memanjangkan ‘grace period’ pembayaran balik PTPTN.

“Kita tak boleh salahkan PH, dan tindakan mengeluarkan nama daripada senarai hitam bukan alasan penyusutan kutipan balik pembayaran PTPTN,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang meminta kerajaan menyatakan berapakah jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang diterima selepas tindakan senarai hitam dihapuskan.

Teo berkata seramai 429,945 orang peminjam dikeluarkan daripada senarai hitam antara 24 Mei hingga 8 Jun lalu.

Timbalan menteri berkata selepas tindakan itu, jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang diterima mulai Jun hingga September 2018 adalah RM817.56 juta, berbanding dengan RM1324.43 juta pada 2017.

“Bagi memastikan bayaran balik berterusan diterima daripada peminjam, tindakan penyenaraian dan kemaskini rekod bayaran peminjam dalam rekod kredit Bank Negara iaitu Central Credit Reference Information System (CCRIS) masih dilaksanakan. Tindakan perundangan juga boleh diambil ke atas peminjam yang enggan membuat bayaran,” katanya.

Beliau turut mengakui sukar untuk PTPTN mendapatkan jumlah kutipan sebanyak RM4 bilion seperti sebelum ini.

“Saya akui susah nak capai kutipan RM4 bilion kalau ikut status sekarang. Nampaknya sukar sikit.

“Tetapi pendirian kita jelas jika sudah pinjam, mereka kena bayar balik tetapi ikut kemampuan. Itu penting.

“Dalam manifesto kita ada beritahu mereka yang gaji bawah RM4,000 mereka dikecualikan sebab tidak mampu bayar. Tetapi kita tidak pernah cakap tidak perlu bayar. Bayar hutang ikut kemampuan,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.