Suspek Kes Bunuh Abang Presiden Korea Utara Menangis Di KLIA2

SEPANG — Tertuduh warga Indonesia dalam kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menangis semasa melawat tempat kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu media bahawa Siti Aisyah, 25, mengadu sesak nafas dan menangis ketika melawat hab pengangkutan di hadapan kaunter teksi di Tingkat 1, selepas 45 minit melawat lokasi kejadian.

“Siti Aisyah tiba-tiba beritahu dia sesak nafas. Baju (jaket kalis peluru) itu berat dan keadaan pun agak sesak, jadi mungkin sebab itu dia tiba-tiba sesak nafas,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan kemudiannya memohon disediakan kerusi roda untuk kedua-dua tertuduh iaitu Siti Aisyah dan Doan Thi Huong, 28, warga negara Vietnam bagi memudahkan prosiding lawatan di tempat kejadian.

Siti Aisyah kemudiannya ditenangkan oleh peguamnya dan pasukan keselamatan.

Wan Shaharuddin berkata lawatan hari ini adalah untuk mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan di Mahkamah Tinggi semasa perbicaraan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad berkata lawatan itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu melihat laluan yang digunakan oleh kedua-dua tertuduh dan mangsa.

“Ini kerana kedua-dua tertuduh dan mangsa menggunakan laluan berbeza pada hari kejadian,” katanya.

Lawatan dimulakan pada 9.45 pagi dengan melihat lokasi berhampiran kedai serbaneka yang dipercayai tempat Doan bersembunyi sebelum menyapu sesuatu kepada orang awam, dua hari sebelum kejadian bunuh itu.

Prosiding lawatan itu diteruskan dengan meninjau kios daftar masuk di Balai Pelepasan, di Tingkat 3, di mana Kim Chol dipercayai disapu racun VX.

Mereka juga meninjau tandas perempuan di tingkat sama di mana Doan telah pergi ke tandas itu selepas kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

Lawatan itu kemudiannya diteruskan ke Klinik Perubatan Menara, yang berada di Tingkat 2, klia2, di mana Kim Chol mendapatkan rawatan selepas dipercayai disapu dengan racun VX.

Mereka juga meninjau di kaunter teksi, di Hab Pengangkutan, Tingkat 1, yang mana kedua-dua tertuduh pergi ke tempat itu selepas kejadian.

Lawatan itu berakhir selepas lebih tiga jam dan perbicaraan akan bersambung di Mahkamah Tinggi esok.

Hampir 300 anggota keselamatan termasuk 200 anggota pasukan petugas khas jenayah terancang (stafoc) Bukit Aman mengawal ketat sesi lawatan itu.

Kedua-dua wanita warga asing itu didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol di klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.