Mahkamah Arab Saudi Tolak Pampasan Kepada Mangsa Tragedi Kren Runtuh

PETALING JAYA – Peluang keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian kren runtuh di Makkah pada 2015 untuk mendapatkan pampasan semakin tipis, selepas mahkamah di sini memutuskan tragedi itu kejadian alam dan tiada ganti rugi diyyah atau pampasan perlu dibayar syarikat terbabit.

Hakim turut membebaskan 13 pekerja Kumpulan Binladen yang bertanggungjawab dalam operasi kren gergasi di Masjidil Haram itu, yang sedang diperbesarkan ketika ia tumbang dalam keadaan hujan ribut pada 11 September 2015 ketika musim haji.

Menurut Saudi Gazette, mahkamah turut memutuskan pampasan tidak perlu dibayar kepada mereka yang tercedera.

Peguam Negara Arab Saudi berkata pihaknya akan merayu keputusan itu.

Seramai 108 orang terbunuh manakala 238 lain cedera ketika sebuah kren tumbang di bahagian timur kompleks Masjidil Haram.

Tujuh daripada yang terkorban adalah jemaah haji Malaysia.

Susulan itu, Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz mengarahkan mangsa dibayar pampasan, iaitu sebanyak 1 juta riyal (RM1.1 juta) kepada keluarga mangsa yang terkorban, manakala separuh daripada itu untuk mereka yang cedera parah.

Difahamkan kes melibatkan Kumpulan Binladen tidak ada kaitan dengan arahan diraja itu.

Bagaimanapun, Mac lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam jawapannya di Dewan Rakyat membayangkan tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia mengenai bayaran pampasan yang dijanjikan Raja Salman, kerana ia “hak mutlak kerajaan Arab Saudi”.

“Tabung Haji telah menyerahkan senarai nama jemaah yang terlibat kepada kerajaan Arab Saudi untuk tujuan pampasan. Tabung Haji sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi dan akan memaklumkan sekiranya terdapat perkembangan terkini daripada pihak terbabit,” katanya.

Semalam, mahkamah di Makkah dalam keputusannya berkata ia mengambil kira semua aspek teknikal dan kejuruteraan, di samping meneliti laporan pakar kaji cuaca.

“Kren tersebut dalam keadaan tegak, betul dan selamat. Tiada kesilapan dilakukan oleh tertuduh yang memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi,” kata hakim.

Menurutnya, kren tersebut sudah berada di situ sejak dua tahun lalu dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Peguam Negara tidak menyerahkan bukti kukuh menunjukkan Kumpulan Binladen melanggar peraturan keselamatan,” katanya. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.