Kerajaan Berusaha Pastikan Rakyat Dapat Manfaat Dari Peningkatan Ekonomi – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada ekonomi yang semakin meningkat.

Perdana menteri berkata antara hasilnya telah memperlihatkan pengurangan yang menakjubkan dalam kadar kemiskinan dengan kemiskinan tegar di negara ini jatuh daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada hanya 0.4 peratus tahun lepas.

Di Sabah sahaja, kadar itu berkurangan daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada hanya 2.9 peratus tahun lepas, katanya.

Dalam catatan dalam blognya menjelang pembentangan Bajet 2018, Najib berkongsi pengalaman pahit-maung yang dihadapi pentadbirannya dalam menangani cabaran ekonomi Malaysia sejak mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 2009.

Antaranya eksport menurun 20 peratus, ekonomi mengucup 6.2 peratus, gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, kadar kemiskinan tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol yang kerap, pengangkutan awam yang teruk dan kapitalisme kroni yang berleluasa.

Najib berkata pendapatan per kapita rakyat telah meningkat daripada RM27,819 pada 2010 kepada RM40,713 tahun ini dengan pendapatan median bulanan meningkat daripada RM4,585 pada 2014 kepada RM5,288 pada 2016 bagi negara yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk ini.

Golongan berpendapatan rendah juga tidak terkecuali mendapat limpahan nikmat peningkatan ekonomi negara, katanya.

Beliau berkata pendapatan isi rumah B40 telah meningkat kepada RM3,000 pada 2016 daripada RM2,629 pada 2014.

“Sebagai hasilnya, nisbah GINI kita ‘yang mengukur kesaksamaan pendapatan’ turun daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.399 tahun lepas, yang paling rendah dalam sejarah Malaysia. Kesaksamaan pendapatan Malaysia tidak pernah lebih baik daripada masa kini,” katanya.

Menyedari isu kos sara hidup memberi kesan paling tinggi kepada mereka berpendapatan rendah, perdana menteri berkata kerajaan mengagihkan RM5.36 bilion dalam Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 7.28 juta isi rumah tahun lepas dan juga memperkenalkan gaji minimum.

Najib juga menempelak seorang bekas pemimpin yang menyifatkan BR1M sebagai penyalahgunaan dana kerajaan.

“Ia sebenarnya amat kejam untuk sesiapa sahaja dalam pembangkang untuk bercakap mengenai menghapuskan satu program yang direka khusus untuk membantu mengurangkan beban berjuta-juta rakyat Malaysia.

“Semua yang kita lakukan adalah untuk kebaikan rakyat. Dan ini termasuk melaksanakan banyak keputusan yang sukar tetapi perlu dilakukan walaupun tidak selalunya popular,” katanya.

Najib juga berkongsi pendekatan pembangunan pentadbirannya yang mengutamakan pembangunan yang lebih adil, lebih inklusif, dan meningkatkan semua sektor penduduk dan kawasan di negara ini.

Tumpuan bukan sekadar untuk Lembah Klang atau pantai barat sahaja, katanya, tetapi lebih daripada itu termasuk kawasan-kawasan lain yang telah diabaikan terlalu lama.

Mengambil contoh Kelantan, yang telah dianaktirikan dan disekat dana pembangunan serta tidak dinaikkan taraf infrastruktur air mereka selama beberapa dekad oleh seorang bekas pemimpin kerana ia diperintah oleh parti pembangkang, Najib berkata:

“Bagi saya, ini tidak adil, kerana air bersih adalah penting untuk kehidupan dan adalah hak semua rakyat Malaysia. Oleh itu, kita telah membantu Kelantan dengan perjanjian penstrukturan semula air tahun lepas yang akan menelan belanja lebih daripada RM1 bilion.”

Beliau berkata keperluan perhubungan darat seperti jalan, lebuh raya dan kereta api di negeri itu juga diambil kira oleh kerajaan persekutuan demi kemudahan dan keselesaan rakyat.

Najib berkata pembangunan termasuk keperluan air untuk rakyat di negeri-negeri yang diperintah pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang turut diberi keutamaan oleh pentadbirannya.

Begitu juga keperluan pembangunan di Sabah dan Sarawak dengan penyediaan peruntukan yang banyak untuk tujuan itu oleh kerajaan persekutuan, katanya.

“Saya berusaha untuk bersikap adil kepada semua negeri, termasuk yang dipegang oleh pembangkang,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.