AS, Korea Selatan dan Jepun Sertai Latihan Amaran Peluru Berpandu

SEOUL – Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun telah memulakan latihan bersama amaran peluru berpandu pada Selasa, yang akan membolehkan mereka mengesan serta menjejaki peluru berpandu balistik jika ia dilancarkan dari Korea Utara, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Ketua Turus Bersama (JCS).

Latihan tiga pihak itu bermula selama dua hari di perairan Korea Selatan dan Jepun, yang menggerakkan empat kapal perang dilengkapi sistem pertempuran aegis ketiga-tiga negara, menurut JCS.

“Latihan terkini direka untuk membuat persiapan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat oleh Korea Utara mengikut perjanjian yang dimeterai dalam Mesyuarat Perundingan Keselamatan ke-48 antara Korea Selatan dan AS pada Oktober 2016,” kata JCS.

Tiada peluru berpandu sebenar akan dilancar dalam latihan terkini itu. Kapal-Kapal perang yang digerak akan bersama-sama mengesan serta menjejaki pelancaran peluru berpandu simulasi komputer dan berkongsi maklumat masing-masing, kata pihak tentera.

Ini merupakan kali kelima latihan bersama amaran peluru berpandu itu membabitkan ketiga-tiga negara sejak yang pertama pada Jun tahun lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.