Video : Perlu Patuh Pada Cas Kenaikan Visa Arab Saudi – Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Malaysia akan mematuhi peraturan cas kenaikan visa yang dibuat pihak Arab Saudi.

 

Beliau berkata, ia perlu dipatuhi kerana bimbang sekiranya akan berlaku sebarang permasalahan dengan negara tersebut akan membantutkan perjalanan umat Islam yang ingin menunaikan Umrah nanti.

“(Caj ini) telah dihantar kepada kerajaan Malaysia mengenai pertambahan 2000 riyal (RM2,250) yang akan dikenakan kepada jemaah. Sudah ada beberapa negara yang telah dikenakan caj tersebut juga hanya mengikut sahaja dahulu sistem yang dikenakan kerajaan itu.

 

“Bagi Kementerian peancongan, kita telah mengadakan pelbagai perbincangan dan akan mengambil perkara itu untuk melihat bagaimana (langkah yang perlu diambil).

 

“Namun pada waktu ini kita perlu patuh (kepada cas kenaikan tersebut) kerana ia adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi. Jadi kita pun memahami. Cuma ada rungutan daripada pihak industri dan kita akan lihat bagaimana kita boleh selesaikan bersama pihak Kementerian Luar Negara untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

 

Katanya, pihaknya sudahpun menghantar surat kepada pihak Kementerian Luar Negara dan hanya menunggu maklum balas daripada pihak kementerian tersebut.

 

Terdahulu, Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Datuk Syed Razif Al Yahya meminta campur tangan pihak kerajaan bagi membantu menyelesaikan kenaikan visa umrah kali kedua yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

 

Beliau berkata, ahli-ahli merasakan bayaran yang dikenakan tidak munasabah dan membebankan umat Islam dan juga agensi umrah.

 

Mulai bulan depan, jemaah yang mahu tunaikan umrah kali kedua dalam tempoh tiga tahun hijrah akan dikenakan visa RM2,250.

 

Beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat pemberitahuan daripada Kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Haji Arab Saudi berhubung dasar baharu itu.

 

Notis itu menyebut, jemaah yang pernah menunaikan umrah pada tahun Hijrah (H) 1435H, 1436H dan 1437H yang mahu menunaikan umrah kali kedua mulai bulan depan akan dikenakan bayaran Visa Umrah sebanyak RM2,250.

 

 

Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan caj baharu visa yang diputuskan bulan lalu oleh Kabinet bertujuan meningkatkan pendapatan bukan berasaskan minyak.

 

Menerusi skim baharu itu, caj visa bagi kemasukan tunggal ke negara itu adalah 2,000 riyal (RM2,250).

 

Bagaimanapun, pengunjung yang kali pertama memasuki Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj berkenaan.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.