Video : Kenaikan Visa Umrah Kali Kedua Bebankan Jemaah – Bumitra

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Datuk Syed Razif Al Yahya meminta campur tangan pihak kerajaan bagi membantu menyelesaikan kenaikan visa umrah kali kedua yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

 

Beliau berkata, ahli-ahli merasakan bayaran yang dikenakan tidak munasabah dan membebankan umat Islam dan juga agensi umrah.

“Sebagai mewakili keseluruhan ahli Bumitra Malaysia, kami memohon Kementerian Pelancongan agar dapat terus membantu Bumitra Malaysia dan jika boleh mewujudkan satu unit khas untuk umrah di dalam Kementerian ini.

 

“Dengan adanya unit khas ini nanti, kami yakin akan dapat membantu menyelesaikan banyak masalah berkaitan umrah dan sebagainya. Pada waktu yang sama persatuan amat mengharapkan bayaran untuk visa sebanyak RM2,250 yang dikenakan mendapat penyelesaian sebaik mungkin.

 

“Kami memahami ini adalah peraturan dan dasar sesebuah negara dan kita perlu akur dengan polisi yang telah ditetapkan, namun ahli-ahli merasakan bayaran yang dikenakan tidak munasabah dan membebankan umat Islam dan juga agensi umrah,”katanya.

 

Terdahulu, mulai bulan depan, jemaah yang mahu tunaikan umrah kali kedua dalam tempoh tiga tahun hijrah akan dikenakan visa RM2,250.

 

Beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat pemberitahuan daripada Kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Haji Arab Saudi berhubung dasar baharu itu.

 

Notis itu menyebut, jemaah yang pernah menunaikan umrah pada tahun Hijrah (H) 1435H, 1436H dan 1437H yang mahu menunaikan umrah kali kedua mulai bulan depan akan dikenakan bayaran Visa Umrah sebanyak RM2,250.

 

Jurucakap Tabung Haji Travel pula berkata, dalam surat pemberitahuan berkenaan pihaknya diminta memaklumkan kepada jemaah umrah berhubung kadar visa berkenaan.

 

“Turut disertakan prosedur semakan jemaah yang ada kekerapan menunaikan umrah dalam sistem Bab Al Umrah,” katanya.

 

Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan caj baharu visa yang diputuskan bulan lalu oleh Kabinet bertujuan meningkatkan pendapatan bukan berasaskan minyak.

 

Menerusi skim baharu itu, caj visa bagi kemasukan tunggal ke negara itu adalah 2,000 riyal (RM2,250).

 

Bagaimanapun, pengunjung yang kali pertama memasuki Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj berkenaan.-SuaraTV

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.