Sidang DUN Kelantan Tangguh, Elak Bertembung Himpunan Rakyat, Kata Gerakan Restorasi

KUALA LUMPUR – Penyokong Gerakan Restorasi air Kelantan mendakwa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pagi tadi terpaksa ditangguhkan untuk mengelakkan pertembungan dengan himpunan rakyat yang dijadualkan berlangsung petang ini.

 

Menerusi mesej yang disebarkan melalui Facebook dan aplikasi Whatsapp, penyokong gerakan tersebut mendakwa penangguhan sidang DUN itu sebagai bukti kemenangan rakyat Kelantan.

 

“Hari ini rakyat Kelantan yang menderita kerana masalah bekalan air bersih telah mencapai kemenangan.

 

“Dewan Undangan Negeri Kelantan ditangguh kerana tidak mahu bertembung dengan gerakkan rakyat yang akan berhimpun jam tiga petang. Kerajaan Negeri membuat keputusan yang memalukan.

 

“Ayuh keluar beramai-ramai bersama Gerakan Restorasi bagi meraikan kemenangan rakyat ini. Kita berhimpun beramai-ramai jam 3 petang di hadapan SUK,” kata mesej gerakan tersebut yang turut mempopularkan hashtag #rombak AKSB dan #restorasi.

 

Awal bulan lalu gerakan yang sama, Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (RESTORASI) telah mengadakan demonstrasi aman mendesak kerajaan negeri menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan pusat serta merombak pengurusan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).

 

“Kalau pengurusan air yang ada sekarang kekal, orang Kelantan kata ‘air tetap berkarat’ walaupun pitih (peruntukan dana) diluluskan oleh pihak pusat,” kata jurucakap kumpulan itu, Mohd Shahbudin Hashim selepas menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan negeri.

 

Dalam responnya pada 11 September lalu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk meneliti memorandum tersebut. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.