Polis Tahan Kakitangan Di Pejabat NGO SIS, Kata Marina Mahathir

PETALING JAYA – Polis hari ini menahan seorang pekerja Sisters In Islam (SIS) berhubung satu kes pecah amanah.

 

Pengasas SIS Datin Paduka Marina Mahathir mengesahkan kunjungan pihak berkuasa itu tidak ada kena mengena dengan badan bukan kerajaan itu.

 

“Kita semua sedikit terkejut dengan serbuan ini, tetapi apa kami pastikan ia tiada kaitan dengan SIS.

 

“Polis sebenarnya mencari seseorang yang sedang bekerja di sini atas sesuatu kes di tempat kerja lama dia.

 

“Kami semua akan bekerjasama,” kata Marina.

 

Kunjungan jam 5.00 petang itu pada awalnya kecoh apabila Marina memaklumkan di media sosial polis melakukan serbuan.

 

SIS pada awalnya tidak bersedia untuk membenarkan polis masuk kerana tidak tahu tujuan sebenar pihak berkuasa.

 

Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa menjelaskan pihaknya mengambil langkah berwaspada apabila tidak membenarkan polis masuk sehingga beliau sampai.

 

“Namun setelah bercakap dengan seorang pegawai polis yang berpakaian biasa itu mengenai tujuan mereka, kita benarkan mereka melakukan tugas.”

 

Rozana menjelaskan kunjungan pihak berkuasa bukan serbuan ke atas SIS. Polis dibenarkan masuk pada jam 5.40 petang.

 

“Mereka secara spesifik meminta untuk bercakap dengan seorang kakitangan yang bekerja di sini. Kita beri kerjasama,” katanya.

 

Beliau mengesahkan individu yang dicari sudah dibawa polis untuk siasatan lanjut. Individu itu ditahan pada jam 5.45 petang.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah mengesahkan penahanan seorang wanita atas kesalahan pecah amanah.

 

Wanita berusia 32 tahun itu telah disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

 

“Pengadu lelaki India berumur 36 tahun kerja sebagai pengarah bagi syarikat Geospatial Media and Communications Sdn Bhd membuat laporan terhadap bekas pekerja yang telah memindahkan daripada akaun syarikat Paypal ke akaun peribadi Maybank dan CIMB.

 

“Pengadu menyatakan kejadian itu berlaku daripada sekitar November 2013 hingga Jun 2015 yang mana tempoh itu pekerja diamanahkan dalam Jabatan Kewangan dan Pentadbiran dan bertanggungjawab menguruskan transaksi kewangan dan bayaran syarikat.

 

“Dalam kejadian itu, pihak pengadu telah mengalami kerugian sejumlah RM207,563.24,” katanya.

 

Zainol berkata wanita itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.