‘Nasi Lemak Anak Dara’ Makin Laris Selepas PM Sebut Dalam Bajet 2017

KUALA LUMPUR — Rezeki peniaga ‘Nasi Lemak Anak Dara’ semakin mencurah apabila perniagaannya disebut perdana menteri pada Bajet 2107, Jumaat lalu.

 

Siti Hajjar Ahmad, 24, berjaya menjual hampir 3,000 bungkus nasi lemak di pesta makanan ‘Best Street Food Festival’ Shah Alam dalam masa empat hari, lapor Berita Harian.

 

“Saya terharu dan cukup berbangga apabila dijadikan model oleh pemimpin negara dalam pembentangan penting seperti itu dan boleh dikatakan jualan nasi lemak saya juga meningkat,” katanya.

 

“Pada hari pertama (pesta makanan), 300 bungkus nasi lemak dijual, meningkat sehingga 600 bungkus pada hari kedua.

 

“Semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) hampir 1000 bungkus nasi lemak saya berjaya jual.”

 

Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan bajet mengulas kepelbagaian makanan termasuk perniagaan nasi lemak yang diusahakan Hajjar.

 

Katanya, walaupun usaha Hajjar memulakan perniagaan sesuatu yang digalakkan namun timbul rasa kasihan apabila gerainya disaman pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Graduan kejuruteraan elektronik itu semakin popular selepas dikompaun RM300 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana tidak memiliki lesen perniagaan.

 

Namun selepas kejadian itu viral di media sosial, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menyerahkan borang permohonan lesen berniaga kepada Hajjar. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.