Kerjasama Filem Malaysia-Australia

MALAYSIA dan Australia akan bekerjasama dalam menerbitkan filem tidak lama lagi.

 

 

Ini berikutan langkah kedua-dua negara memuktamadkan perjanjian yang merintis jalan bagi penerbit dua negara berkenaan mengadakan kerjasama lebih rapat dalam projek penghasilan filem untuk televisyen dan pawagam.

 

 

“Di samping meningkatkan hubungan budaya dan mengukuhkan hubungan rakyat-dengan rakyat kita, perjanjian ini juga akan memperkasakan lagi hubungan dua hala dalam bidang ekonomi serta menyediakan mekanisme bagi penerbit Australia dan Malaysia bersaing dengan lebih berkesan di pasaran dunia,” kata Menteri Perdagangan dan Pelaburan Australia, Andrew Robb dalam satu kenyataan.

 

 

Perjanjian penerbitan bersama itu yang dimuktamadkan di luar rundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik baru-baru ini – akan membuka ruang kepada pertambahan banyak bakat, kepakaran dan infrastruktur, serta perkongsian kos pengeluaran.

 

 

“Perjanjian ini akan mewujudkan ruang bagi pertukaran dalam bidang kreatif dan pembangunan projek penerbitan filem yang mempunyai kepentingan dari segi budaya bagi Australia dan Malaysia.

 

 

“Ia juga akan mewujudkan khalayak antarabangsa baharu bagi cerita tempatan kita dan yang dikongsi,” kata Menteri Kesenian Mitch Fifield.
 

 

Australia terlibat dengan 12 perjanjian penerbitan filem bersama negara lain iaitu dengan Kanada, China, Perancis, Jerman, Ireland, Israel, Itali, Korea Selatan, New Zealand, Singapura, Afrika Selatan dan United Kingdom.

 

 

Setakat ini, kesemua perjanjian itu menghasilkan lebih 165 penerbitan dengan bajet berjumlah A$1.5 bilion.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.