Bajet 2016 Sedia Peruntukan RM4.1b Bina Rumah Rakyat

KUALA LUMPUR  – Kerajaan akan meneruskan pelbagai program pemilikan rumah bagi segenap lapisan pendapatan termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan diperuntukkan sebanyak RM4.1 bilion.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan itu termasuk kos untuk membina 175,000 unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dijual 20 peratus di bawah harga pasaran dengan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

 

Selain itu, Najib berkata, kerajaan akan membina 10,000 rumah mesra rakyat yang akan dijalankan oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dengan pemberian subsidi RM20,000 bagi setiap unit rumah dengan peruntukan RM200 juta.

 

“Sebenarnya, isu perumahan mampu milik sentiasa menjadi perhatian saya. Namun begitu, pelaksanaannya memerlukan penglibatan dan komitmen yang serius dari pelbagai agensi, seperti kementerian, PR1MA, SPNB, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta lain,” kata Perdana Menteri.

 

Kata Najib, kerajaan akan membina 100,000 unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) menjelang tahun 2018 dengan harga di antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit.

 

Malah katanya, kerajaan akan menyediakan Bantuan Dana Mudah Cara sehingga 25 peratus daripada kos pembangunan bagi tujuan itu.

 

Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan, sebanyak 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres di bawah Program Perumahan Rakyat oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan peruntukan RM863 juta akan dibina selain menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah kementerian yang sama.

 

“Sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama untuk rumah mampu milik bagi tujuan bayaran deposit, RM200 juta diperuntukkan.

 

“Kerajaan juga akan membina 5,000 unit rumah PR1MA dan PPA1M di 10 lokasi sekitar stesen dan koridor Transit Aliran Ringan (LRT) serta monorel antaranya di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa, kata Najib.

 

Selain itu katanya, di bawah Bajet 2016, kerajaan memperuntukkan RM60 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli khusus untuk pembinaan rumah masyarakat Orang Asli.

 

Kerajaan juga tidak melupakan peneroka-peneroka Felda dengan membina rumah untuk generasi kedua peneroka iaitu 20,000 unit rumah untuk Felda, 2,000 unit rumah untuk Felcra dan 2,000 unit rumah untuk Risda, menurut Najib.

 

“Bagi rumah Felda, harga maksimum kini diturunkan kepada RM70,000 berbanding RM90,000 sebelum ini,” ujarnya.

 

Perdana Menteri menambah, sebanyak 800 unit rumah mampu milik akan dibina GLC berhampiran stesen Mass Rapid Transit (MRT) dalam Kawasan Pusat Bandar Kwasa Damansara oleh Kwasa Land milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan 4,600 unit rumah mampu milik oleh Sime Darby Property.

 

Kata Perdana Menteri, kerajaan turut memperuntukkan RM40 juta di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi pemulihan projek perumahan swasta yang terbengkalai. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.