UMNO Punca Imej Buruk Malaysia Dapat Perhatian Antarabangsa – Rafizi

Kuala Lumpur – PKR hari ini menyalahkan Putrajaya sebagai punca imej buruk Malaysia dengan menggunakan isu agama dan kaum untuk kepentingan politik serta melakukan pendakwaan terpilih.

Setiausaha agungnya, Rafizi Ramli berkata isu tersebut sudah dimainkan pemerintah Umno dan Barisan Nasional untuk kekal berkuasa, tetapi kini ia mendapat perhatian antarabangsa terutama daripada pemantau hak asasi manusia.

“Dalam pertemuan saya dengan Human Rights Watch dan Amnesty International, saya telah dimaklumkan laporan tahunan hak asasi manusia bagi 2014 yang bakal dikeluarkan Human Rights Watch akan mengkritik rekod hak asasi manusia yang semakin buruk kerana beberapa tindakan kerajaan Umno/Barisan Nasional terutamanya pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penggunaan Akta Hasutan,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi membidas sikap Putrajaya yang menekan lawannya dan tidak menghormati demokrasi sebagai punca tindak balas banyak pihak dunia.
“Tindakan Umno dan BN selama inilah yang sebenarnya telah pun menarik perhatian masyarakat antarabangsa kepada rekod demokratik dan hak asasi manusia kerajaan Malaysia yang semakin buruk.

“Saya suka mengingatkan Umno dan BN dalam suasana dunia sekarang, sebarang tindakannya yang bertentangan dengan adab demokrasi akan mengundang kecaman dan tindakbalas dari banyak pihak di seluruh dunia,” katanya.

Beliau juga membangkitkan sikap pemerintah yang tidak mengambil tindakan ke atas pertubuhan yang rapat dengan mereka walaupun menggunakan sentimen agama dan kaum untuk menanam kebencian.

“Isu ini bukanlah perkara yang baru dan sudah pun menerima liputan meluas di peringkat antarabangsa.

“Apatah lagi apabila Umno dan BN enggan bertindak terhadap ugutan-ugutan perkauman dan manipulasi agama yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan yang rapat dengan mereka, contohnya ugutan untuk membakar Bible yang dibuat Datuk Ibrahim Ali.”

Sebaliknya, Rafizi berkata kerajaan masih meneruskan salahguna saluran undang-undang untuk menekan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Malah, tindakan Umno dan BN yang terus menyalahgunakan institusi undang-undang untuk menekan Anwar dan pimpinan lain melalui Akta Hasutan meletakkan fokus masyarakat antarabangsa kepada rekod hak asasi manusia kerajaan Malaysia yang semakin merudum.”

Rafizi juga menangkis tuduhan mengatakan pembangkang memburukkan nama negara kepada dunia, mengatakan kerajaan yang diperintah sekarang adalah kerajaan minoriti yang tidak mendapat mandat rakyat.

“Taktik menuduh kononnya pembangkang suka memburukkan nama Malaysia di mata antarabangsa yang selalu digunakan Umno dan BN tidak boleh dipakai lagi.

“Umno dan BN, bukanlah Malaysia, dan tindakan buruk mereka tidak melambangkan rakyat atau negara Malaysia, apatah lagi bila mana Umno dan BN adalah kerajaan minoriti yang hanya mendapat sokongan 47% pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pada hari Rabu menyelar tindakan PKR yang mengunjungi Australia minggu ini sebagai usaha memburukkan negara hingga memberi persepsi yang salah mengenai kerajaan pimpinan BN pada mata dunia.

“Saya tak setuju setengah pihak pergi keluar negara, hentam negara kita, maki… bukan saja kepada pemimpin parti, tetapi juga pemimpin negara,” katanya.

PKR mengadakan lawatan ke Australia dan berjumpa dengan pegawai kerajaan di sana bagi menjelaskan situasi dan keadaan politik di Malaysia.

Ia juga dilihat sebagai langkah terakhir PKR mendapatkan sokongan antarabangsa menjelang perbicaraan Anwar pada 28 Oktober ini.  –  MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.